Mesej utama
• Petugas kesihatan kadangkala menggunakan telefon mudah alih (atau ‘bimbit’) peribadi mereka secara tidak rasmi untuk menutup jurang dalam sistem penjagaan kesihatan.
• Penemuan kami mencadangkan bahawa ini boleh membantu mereka bekerja dengan lebih cekap. Ia juga boleh membantu mereka lebih responsif terhadap keperluan pesakit dan petugas kesihatan.
• Walau bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan masalah kepada pesakit dan petugas kesihatan, dan ia boleh melemahkan sistem penjagaan kesihatan.
Apakah penggunaan telefon bimbit secara tidak rasmi?
Petugas kesihatan kadangkala menggunakan telefon bimbit peribadi mereka di tempat kerja walaupun penggunaan ini tidak dikawal melalui peraturan secara rasmi. Ini boleh membantu mereka menjalankan kerja mereka apabila tempat kerja mereka kekurangan cara yang berkesan dan boleh diakses untuk berkongsi maklumat melalui sistem kesihatan rasmi. Tetapi ia juga boleh membawa kepada masalah baru.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui penggunaan telefon bimbit peribadi secara tidak rasmi oleh petugas kesihatan untuk sokongan kerja mereka.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian tentang pandangan, pengalaman, dan amalan petugas kesihatan berkenaan penggunaan telefon mudah alih peribadi mereka di tempat kerja. Kami menganalisis keputusan mereka dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan daripada ulasan tersebut.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 30 kajian yang diterbitkan antara tahun 2013 dan 2022. Semua kajian adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Mereka mengkaji pelbagai jenis petugas kesihatan, termasuk doktor, jururawat, pekerja kesihatan awam, ahli farmasi dan pengurus penjagaan kesihatan yang bekerja di hospital, klinik dan komuniti. Beberapa penemuan ulasan kami hanya berdasarkan jumlah data yang kecil, yang mengurangkan keyakinan kami terhadap penemuan-penemuan ini. Kami berkeyakinan sederhana hingga tinggi dengan penemuan ulasan seperti berikut.
• Petugas kesihatan berhadapan dengan jurang antara apa yang diharapkan daripada mereka dan sumber tersedia untuk mereka. Untuk menutup jurang ini, mereka membangunkan strategi mereka sendiri. Ini kadangkala melibatkan penggunaan telefon mudah alih peribadi, data dan masa siaran mereka sendiri. Mereka juga menggunakan masa peribadi mereka untuk membuat dan menerima panggilan di luar waktu kerja, dan menggunakan rangkaian peribadi mereka untuk menghubungi orang lain untuk mendapatkan bantuan dan nasihat.
• Dalam sesetengah keadaan, penggunaan telefon mudah alih peribadi petugas kesihatan tidak dikawal tetapi telah menjadi sebahagian daripada proses kerja. Oleh itu, sesetengah petugas kesihatan merasakan tekanan daripada rakan sekerja dan majikan untuk menggunakan telefon peribadi mereka. Ada juga yang menggunakan telefon bimbit mereka kerana perasaan bertanggungjawab terhadap pesakit dan rakan sekerja mereka.
• Penggunaan telefon bimbit, masa dan rangkaian peribadi petugas kesihatan membantu memanusiakan penjagaan kesihatan. Ia membolehkan petugas kesihatan menjadi lebih lentur, cekap dan responsif kepada keperluan pesakit. Ia boleh menghubungkan pesakit dengan individu petugas kesihatan dan bukannya sistem secara umum dan boleh membantu pesakit menyimpan maklumat sensitif daripada sistem kesihatan yang rasmi. Ia juga membolehkan petugas kesihatan berkomunikasi antara satu sama lain dengan cara yang lebih peribadi daripada yang dibenarkan oleh sistem kesihatan yang rasmi. Semua ini boleh mengukuhkan hubungan petugas kesihatan dengan pesakit dan rakan sekerja.
• Walau bagaimanapun, pendekatan tidak rasmi ini juga boleh menyebabkan masalah kepada petugas kesihatan . Penggunaan telefon bimbit peribadi menggunakan sumber kewangan. Ini adalah masalah khusus bagi petugas kesihatan peringkat rendah dan petugas kesihatan dalam tetapan berpendapatan rendah yang mungkin dibayar lebih rendah dan mempunyai kekurangan akses kepada telefon kerja atau pampasan. Penggunaan di luar waktu kerja juga boleh menambahkan beban petugas kesihatan peringkat rendah kerana mereka merasa sukar untuk mengabaikan panggilan apabila berada di rumah. Petugas kesihatan yang kekurangan akses kepada elektrik dan internet juga kurang berupaya mencari penyelesaian menggunakan telefon mudah alih secara tidak rasmi, manakala petugas kesihatan yang mempunyai pendidikan yang lebih rendah sukar untuk menilai maklumat yang mereka temui dalam talian. Saluran digital tidak rasmi boleh membantu petugas kesihatan mengembangkan rangkaian peribadi mereka. Walau bagaimanapun, petugas kesihatan yang bergantung pada rangkaian peribadi mereka untuk mendapatkan bantuan dan nasihat berada dalam kekurangan jika rangkaian ini lemah.
• Penggunaan sumber peribadi oleh petugas kesihatan juga boleh menyebabkan masalah kepada pesakit dan hanya mampu memberi manfaat kepada sesetengah pesakit lebih daripada yang lain. Sebagai contoh, apabila petugas kesihatan menyimpan dan berkongsi maklumat pesakit pada telefon mudah alih peribadi mereka, kerahsiaan maklumat ini mungkin akan terbocor. Tambahan pula, petugas kesihatan boleh memutuskan untuk menggunakan sumber peribadi mereka pada sesetengah pesakit, tetapi bukan yang lain. Petugas kesihatan memberitahu kadangkala mereka menggunakan telefon bimbit, masa dan rangkaian peribadi untuk membantu pesakit dan pelanggan yang pada pendapat mereka sangat memerlukan. Keputusan ini berkemungkinan mencerminkan nilai dan idea mereka sendiri, contohnya tentang kesaksamaan sosial dan kelayakan pesakit. Tetapi ini boleh tidak semestinya mencerminkan matlamat dan cita-cita yang ingin dicapai oleh sistem penjagaan kesihatan yang rasmi.
• Akhir sekali, penggunaan telefon mudah alih secara tidak rasmi menutup jurang dalam sistem penjagaan kesihatan tetapi juga boleh melemahkan sistem ini. Menyimpan dan berkongsi maklumat pada telefon peribadi dan melalui saluran tidak rasmi boleh mewujudkan sistem 'bayangan IT' (teknologi maklumat) di mana maklumat tentang aliran pesakit dan logistik tidak direkodkan secara rasmi. Petugas kesihatan juga berkemungkinan akan lebih terganggu di tempat kerja, contohnya melalui panggilan daripada rakan sekerja dan ahli keluarga atau melalui media sosial. Cabaran seperti ini adalah sukar untuk sistem kesihatan yang lemah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).