Mesej utama
-
Menghidap diabetes mungkin meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit tuberkulosis kepada kira-kira dua kali ganda risiko populasi (antara 1.5 hingga 2.4 kali ganda peningkatan risiko).
-
Keputusan ini terpakai pada populasi umum orang dewasa; risiko untuk kumpulan lain seperti remaja dan kanak-kanak adalah tidak jelas.
Apakah itu tuberkulosis?
Tuberkulosis (TB) ialah jangkitan yang diakibatkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis . Ia terutamanya menjejaskan paru-paru tetapi boleh juga menjejaskan bahagian lain di dalam badan. TB merebak melalui udara apabila seseorang dengan penyakit TB batuk atau bersin. Sesetengah orang tidak mengalami gejala selepas jangkitan, sementara orang lain mengalami penyakit dan gejala-gejala seperti batuk berterusan, kehilangan berat badan, demam dan berpeluh malam. Ini dipanggil penyakit TB .
Diagnosa penyakit TB biasanya melibatkan pemberian ujian molekul atau kultur yang mengenal pasti bakteria dalam rembesan badan (seperti kahak (mukus dan air liur)) selepas konsultasi dengan doktor.
TB ialah masalah kesihatan utama di seluruh dunia; lebih 10 juta orang menghidap penyakit TB, dan kira-kira 1.3 juta meninggal dunia disebabkan penyakit tersebut setiap tahun.
Apakah itu diabetes?
Diabetes adalah keadaan kronik yang dicirikan oleh paras tinggi glukosa (gula) dalam darah yang tidak normal disebabkan oleh pengeluaran insulin yang tidak mencukupi oleh pankreas atau ketidakupayaan tubuh untuk menggunakan insulin yang dihasilkan dengan betul, atau gabungan kedua-duanya. Terdapat banyak jenis diabetes yang berbeza-beza; jenis yang paling kerap dikenali sebagai ‘diabetes mellitus jenis 2’. Insulin ialah hormon yang mengawal gula dalam darah. Ini membawa kepada gejala-gejala seperti dahaga, kerap kencing, kelesuan, dan penyembuhan luka yang perlahan. Tanpa pengurusan yang betul, diabetes boleh menyebabkan komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, masalah saraf, dan masalah mata. Pengurusan diabetes melibatkan pemakanan sihat, kekal aktif, pengambilan ubat, dan pemantauan parameter kesihatan untuk mencegah komplikasi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menganggarkan risiko mengalami penyakit TB di kalangan orang dengan diabetes berbanding dengan mereka yang tiada diabetes.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menumpukan kepada kajian yang menyertakan orang dengan diabetes dan orang tanpa diabetes sepanjang suatu masa dan membandingkan betapa kerapnya setiap kumpulan mengalami tuberkulosis.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 48 kajian dengan lebih 61 juta peserta daripada enam kawasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Walau bagaimanapun, perwakilan adalah pelbagai oleh sebab kami menemui lapan kajian keseluruhan populasi dari Korea Selatan, 19 dari China, dan hanya satu dari kawasan Afrika (Ethiopia). Kebanyakan kajian adalah di kalangan orang dewasa, empat di kalangan kanak-kanak dan tiga di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Secara purata, kajian-kajian menjejaki peserta selama lima tahun.
Kami mendapati orang dengan diabetes adalah 1.5 hingga 2.4 kali ganda lebih berisiko untuk mengalami tuberkulosis berbanding dengan mereka yang tiada diabetes.
Apakah batasan bukti?
Kebanyakan kajian mempunyai batasan. Satu masalah adalah kebanyakan kajian menggunakan mikroskopi kahak untuk mendiagnosa TB di kalangan orang dengan gejala yang mungkin menyebabkan sesetengah diagnosa terlepas. Kaedah yang lebih tepat, seperti ujian kultur atau ujian diagnostik pantas, kini wujud dan boleh terlepas lebih sedikit kes-kes TB. Tambahan lagi, kriteria diagnosa yang lebih jelas untuk diabetes, termasuk jenis diabetes dan betapa baik kawalan paras glukosa, adalah diperlukan untuk menganggar risiko berkaitan keadaan tersebut dengan tepat.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 3 Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).