Mesej utama
Respons terhadap borang soal selidik boleh ditingkatkan dengan menghubungi peserta target sebelum borang soal selidik dihantar kepada mereka;
Respons terhadap borang soal selidik boleh ditingkatkan dengan menjadikan borang soal selidik, surat dan emel lebih peribadi, dan sependek yang boleh;
Respons terhadap borang soal selidik boleh ditingkatkan dengan memberi insentif, contohnya, sejumlah kecil wang atau insentif bukan kewangan seperti pen.
Mengapakah respons terhadap borang soal selidik penting?
Borang soal selidik secara pos dan elektronik ialah cara yang agak murah untuk mengumpul maklumat daripada orang ramai bagi tujuan penyelidikan. Sekiranya orang ramai tidak membalas jemputan (yang dipanggil 'non-responders'), keputusan penyelidikan akan cenderung menjadi kurang tepat.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mencari cara-cara yang berkesan untuk meningkatkan respons terhadap borang soal selidik secara pos dan elektronik.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji sebarang cara untuk meningkatkan respons terhadap borang soal selidik.
Kami merumuskan keputusan kajian.
Apakah yang kami dapati?
Sejumlah besar penyelidikan telah dilakukan untuk cuba mengenal pasti cara-cara untuk meningkatkan respons, dan kami telah menyertakan 758 kajian dalam kemas kini ulasan metodologi Cochrane ini. Kajian memasukkan pelbagai golongan yang diminta untuk melengkapkan borang soal selidik, daripada pesakit, doktor, pelajar universiti dan profesor, hingga pengurus pemasaran, akauntan dan pengurus kedai runcit.
Kami mendapati bahawa respons akan meningkat dengan menghubungi orang ramai sebelum borang soal selidik dihantar kepada mereka. Kami juga mendapati bahawa respons terhadap borang soal selidik secara pos akan meningkat jika ia dihantar oleh universiti. Respons juga boleh ditingkatkan dengan memberi insentif, contohnya, sejumlah kecil wang atau insentif bukan kewangan seperti pen. Respons mungkin lebih tinggi apabila menggunakan borang soal selidik secara pos berbanding elektronik, atau dengan memberikan pilihan cara respons (elektronik atau pos). Respons boleh ditingkatkan dengan menjadikan borang soal selidik, surat dan emel lebih peribadi, dan sebaik-baiknya dikarang pendek.
Apakah batasan bukti?
Kami terpaksa mengecualikan beberapa kajian kerana kami tidak dapat mengesahkan bahawa ia bebas daripada bias.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).