Bagaimana kesan ke atas kesaksamaan kesihatan dinilai dalam ulasan sistematik keberkesanan

Mesej utama

Pengulas mendapati lima pendekatan metodologi untuk mempertimbangkan ekuiti kesihatan dalam tinjauan sistematik keberkesanan tetapi cara yang paling sesuai untuk menangani mana-mana pendekatan ini adalah tidak jelas.

Soalan ulasan

Kami menyemak kaedah yang digunakan oleh pengulas sistematik untuk mempertimbangkan ekuiti kesihatan dalam ulasan sistematik keberkesanan.

Latar belakang

Pengurangan ketaksaksamaan kesihatan, perbezaan kesihatan yang boleh dielakkan dan tidak adil, telah mencapai kepentingan politik antarabangsa dan endorsmen global. Pembuat keputusan menyatakan kekurangan pertimbangan kesaksamaan dalam ulasan sistematik, mewujudkan keperluan untuk panduan tentang kelebihan dan kekurangan kaedah untuk menilai kesan ke atas saksamaan kesihatan dalam ulasan sistematik.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan kajian empirik koleksi ulasan sistematik yang menilai kaedah untuk mengukur kesan ke atas ketaksaksamaan kesihatan. Kami mendefinisikanketaksaksamaan kesihatan sebagai perbezaan yang tidak adil dan boleh dielakkan merentasi faktor stratifikasi sosial yang mengehadkan peluang untuk kesihatan. Kami menilai perbezaan dalam kesihatan merentasi mana-mana komponen dalam akronim PROGRESS-Plus, yang bermaksud Tempat kediaman, Kaum/etnik/budaya/bahasa, Pekerjaan, Gender atau jantina, Agama, Pendidikan, Status sosioekonomi, Modal sosial. "Plus" bermaksud faktor lain yang berkaitan dengan diskriminasi, pengecualian, peminggiran atau kerentanan seperti ciri peribadi (contohnya umur, ketidakupayaan), perhubungan yang mengehadkan peluang untuk kesihatan (contohnya anak-anak dalam rumah dengan ibu bapa yang merokok) atau situasi persekitaran yang menyediakan kawalan terhad ke atas peluang untuk kesihatan (contohnya sekolah, makanan, alam sekitar).

Keputusan utama

Ulasan terkini ini termasuk 158 koleksi ulasan sistematik: 108 menumpukan pada bukti yang berkaitan dengan populasi yang mengalami ketaksaksamaan, 26 menilai analisis subkumpulan merentasi PROGRESS-Plus, dua menilai analisis kecerunan dalam kesan merentasi PROGRESS-Plus dan 20 menggunakan gabungan analisis subkumpulan dan pendekatan berfokus. Faktor PROGRESS-Plus yang paling biasa dinilai ialah umur (43 kajian), status sosioekonomi (35 kajian), negara berpendapatan rendah dan sederhana (24 kajian). Empat kajian menilai pelbagai faktor yang ketaksaksamaan kesihatan mungkin wujud.

Pengulas mengenal pasti lima pendekatan metodologi untuk mempertimbangkan kesaksamaan kesihatan dalam ulasann sistematik keberkesanan: 1) penilaian deskriptif dalam ulasan, 2) penilaian deskriptif kajian yang termasuk dalam ulasan, 3) pendekatan analitik, 4) penilaian kebolehgunaan, dan 5) penglibatan pihak pemegang taruh. Namun, cara yang paling sesuai untuk menangani mana-mana pendekatan ini tidak jelas. Analisis kesan untuk populasi tertentu perlu berasas dan dilaporkan dengan sewajarnya untuk membolehkan penilaian kredibiliti mereka. Ketelusan pertimbangan tentang kebolehgunaan dan kaitan dengan populasi yang kurang bernasib baik perlu dipertingkatkan. Panduan tentang kesaksamaani dan populasi khusus boleh didapati dalam Buku Panduan Cochrane.

Tarikh carian

Bukti terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman Bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information