Pengenalan
Kebanyakan kajian gagal untuk merekrut bilangan peserta yang mereka perlukan dalam masa yang mereka rancang untuk menjalankan kajian. Pengrekrutan peserta berpotensi untuk kajian penyelidikan melibatkan tiga peringkat: mengenalpasti, mendekati dan mendapatkan persetujuan untuk menyertai kajian. Penyelidik kerap bergantung kepada kakitangan penjagaan kesihatan, seperti doktor dan jururawat, untuk mengenalpasti dan mendekati peserta berpotensi. Ulasan ini mengkaji strategi apa yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk menambahbaik pengrekrutan bagi kajian.
Penemuan
Kami menemui 11 kajian yang telah menilai strategi pengrekrutan yang digunakan dengan kakitangan penjagaan kesihatan semasa mencari penulisan pada Januari 2015. Lima kajian memasukkan sejumlah peserta (7372). Terdapat tiga strategi utama:
1. Dengan menggunakan sistem amaran, sama ada sistem komputer atau anggota kakitangan untuk menyemak rekod pesakit, untuk memaklumkan kakitangan merekrut peserta yang mungkin sesuai untuk kajian (lima kajian).
2. Pemberian maklumat tambahan tentang kajian di hospital atau klinik yang merekrut orang melalui lawatan daripada penyelidik, seminar pendidikan atau risalah (empat kajian).
3. Dengan menggunakan anggota kakitangan yang ditetapkan di mana peranan utamanya adalah untuk merekrut peserta (dua kajian).
Semua kajian telah dikenalpasti sebagai berkualiti agak rendah, jadi adalah sukar untuk membuat kesimpulan kukuh daripada mereka. Lima kajian meneliti sistem amaran untuk mengenal pasti peserta yang mungkin sesuai untuk kajian. Sistem amaran menunjukkan beberapa keputusan yang berpotensi tetapi tidak sebulat suara dalam penemuan mereka. Empat kajian yang menilai penyediaan maklumat tambahan, lawatan atau pendidikan ke tapak yang merekrut peserta menemui bahawa tiada strategi yang telah diuji membawa kepada pengrekrutan yang bertambah baik. Strategi yang paling berpotensi nampaknya adalah penggajian seseorang seperti pegawai kajian klinikal atau jururawat penyelidikan dengan tugas khusus untuk merekrut peserta bagi kajian penyelidikan. Dua kajian yang menggunakan strategi ini menunjukkan penambahbaikan dalam kadar pengrekrutan tetapi kedua-duanya adalah berisiko bias yang tinggi.
Kesimpulan
Lebih banyak kajian masih diperlukan untuk menilai peranan orang yang ditetapkan untuk merekrut bagi kajian penyelidikan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).