Mesej utama
Pelbagai penapis carian untuk mendapatkan ulasan sistematik telah dinilai. Walaupun banyak yang mempunyai kepekaan yang boleh diterima (terlepas beberapa kajian yang berkaitan) dan kekhususan (tidak memasukkan kajian yang tidak berkaitan), tiada penapis tunggal yang boleh disyorkan kerana kebanyakannya diperolehi daripada set ulasan lama yang mungkin tidak mencerminkan ciri dan piawaian pelaporan semasa.
Apakah penapis carian untuk ulasan sistematik?
Penapis carian menggabungkan perkataan dan frasa untuk mendapatkan semula rekod dengan ciri yang serupa (cth. reka bentuk kajian, topik klinikal) dan biasanya dinilai dari segi kepekaan dan ketepatannya. Ulasan sistematik meringkaskan dan mensintesis bukti saintifik dan mewakili sumber maklumat penting untuk para profesional kesihatan. Pangkalan data menyediakan akses kepada mereka, dan penapis carian boleh digunakan untuk mendapatkan semula ulasan sistematik secara pragmatik.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengenal pasti penapis carian untuk ulasan sistematik, menilai kualitinya dan mendapatkan semula data mengenai kepekaan, kekhususan dan ketepatannya.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mencipta, menilai atau membandingkan penapis carian yang boleh digunakan untuk mendapatkan ulasan sistematik dalam MEDLINE, Embase atau kedua-duanya. Kami mengenal pasti sembilan kajian yang mencipta penapis untuk MEDLINE dan tiga kajian yang membangunkan penapis untuk Embase.
Apakah yang kami temui?
Untuk MEDLINE, semua penapis menunjukkan sensitiviti dan ketepatan yang serupa, dan satu penapis menunjukkan tahap kekhususan yang lebih tinggi. Untuk Embase, penapis menunjukkan kepekaan dan ketepatan yang berbagai, dengan laporan kajian yang terhad yang boleh menjejaskan penilaian ketepatannya.
Apakah batasan bukti?
Beberapa penapis telah diciptakan untuk topik tertentu (cth. kesihatan awam), dan kebanyakannya diciptakan menggunakan kajian lama, yang mungkin tidak menggambarkan cara ulasan sistematik dilaporkan pada masa kini. Selain itu, penapis mungkin tidak dapat membezakan diantara ulasan yang berkualiti tinggi dan berkualiti rendah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani ZakariaUniversiti Sains Malaysia).