Adakah kesan rawatan dalam kajian rawak berbeza apabila menggunakan plasebo aktif berbanding plasebo standard?

Mesej utama

1. Kami mendapati tiada perbezaan jelas kesan antara plasebo aktif dan plasebo standard, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan tersebut.

2. Kami mencadangkan agar penyelidik mempertimbangkan dengan teliti jenis plasebo apabila menyelidik ubat-ubatan dengan kesan sampingan yang jelas.

Apakah plasebo standard dan plasebo aktif?

Pembutaan (atau menutup) adalah bahagian penting dalam kajian rawak dan ia memastikan peserta dan penyedia penjagaan kesihatan tidak terpengaruh oleh pengetahuan sama ada peserta menerima rawatan eksperimen. Jika mereka ada pengetahuan ini, mereka mungkin secara tidak sengaja melebih anggar (atau kurang anggar) kesan rawatan tersebut. Satu kaedah pembutaan adalah dengan memberi kumpulan peserta yang tidak dirawat suatu plasebo, yang kelihatan seperti ubat (contohnya tablet yang mempunyai bentuk, warna, bau, rasa dan tekstur yang serupa) tetapi tidak mengandungi bahan aktifnya.

Pembutaan dengan plasebo mungkin tidak selalunya berjaya. Rawatan itu mungkin mempunyai kesan sampingan yang membezakannya daripada plasebo sehingga kesan rawatan masih tidak diukur dengan tepat. Atas sebab ini, sesetengah kajian menggunakan plasebo aktif, yang meniru sesetengah kesan sampingan ubat eksperimen. Walau bagaimanapun,adalah tidak jelas sama ada pilihan jenis plasebo sebenarnya merubah kesan rawatan.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada kesan rawatan dalam kajian rawak berbeza apabila mengguna plasebo aktif berbanding plasebo standard.

Apa yang kami lakukan?

Kami mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang membandingkan secara langsung kedua-dua jenis plasebo, atau yang membandingkan kedua-dua plasebo dengan ubat eksperimen. Jika orang yang menerima plasebo aktif mengalami hasil yang lebih baik daripada mereka yang menerima plasebo standard, perbezaan ini mungkin disebabkan oleh mereka mempercayai bahawa mereka menerima ubat experimen. Ini juga bermakna dalam kajian-kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo standard, kesan manfaat ubat itu dibesar-besarkan. Ini penting jika manfaat rawatan yang diukur adalah kecil atau sederhana dan oleh itu sangat sensitif kepada perubahan dalam kaedah yang diguna untuk kajian-kajian tersebut.

Apa yang kami temui?

Kami sertakan 21 kajian dalam ulasan ini, yang meliputi subjek seperti sakit dan psikiatri. Kami dapati tiada perbezaan jelas antara kedua-dua jenis plasebo dalam hasil yang dilapor oleh peserta (seperti intensiti sakit). Walau bagaimanapun, kerana keputusan-keputusan adalah tidak pasti, julat kemungkinan keputusan ini termasuklah tiada perbezaan dan perbezaan yang berpotensi penting yang memihak kepada plasebo aktif. Apabila kami mengehadkan analisis kepada kajian-kajian berkualiti tinggi, plasebo aktif lebih bermanfaat daripada plasebo standard, tetapi kajian-kajian ini bukan ujian klinikal tipikal dan mungkin tidak boleh diaplikasi untuk senario klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi leong.siewlian@monash.edu

Tools
Information