Soalan ulasan
Kami mengkaji sama ada pembedahan lubang kunci (laparoskopi colposuspension) adalah lebih baik berbanding jenis-jenis pembedahan yang lain untuk merawat kencing tidak lawas (kebocoran air kencing) dalam kalangan wanita. Kami juga membandingkan kaedah laparoskopi colposuspension yang berbeza antara satu sama lain.
Latar belakang
Kencing tidak lawas adalah satu masalah melemahkan yang biasa bagi ramai wanita. Kira-kira sepertiga daripada wanita pada peringkat umur boleh melahirkan anak mengalami kebocoran air kencing semasa aktiviti fizikal atau apabila mereka batuk, ketawa atau bersin. Apabila kencing tidak lawas masih berterusan selepas rawatan bukan pembedahan, maka pembedahan sering disyorkan. Laparoskopi colposuspension adalah satu pembedahan yang dijalankan dengan potongan kecil pada abdomen untuk memegang dan menyokong tisu di sekeliling leher pundi kencing.
Adakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 22 Mac 2019.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 26 kajian dengan 2271 wanita yang sama ada membandingkan laparoskopi colposuspension dengan jenis-jenis pembedahan yang lain untuk menguruskan kencing tidak lawas atau membandingkan pendekatan laparoskopi colposuspension yang berbeza. Semua kajian menyusul wanita-wanita terbabit untuk sekurang-kurangnya 18 bulan selepas pembedahan, dengan beberapa kajian yang berpanjangan sehingga lima tahun. Kami melihat pada kekukuhan setiap kaedah kajian dan bilangan wanita yang terlibat untuk menilai kualiti bukti yang mereka bentangkan.
Keputusan utama
Bukti berkualiti tinggi bermakna kami yakin bahawa laparoskopi colposuspension dengan jahitan (pembedahan lubang kunci dengan jahitan) adalah berkesan seperti colposuspension terbuka (pembedahan tradisional) untuk mengubati kencing tidak lawas dalam jangka pendek (sehingga 18 bulan selepas pembedahan). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada terdapat makin sedikit risiko komplikasi semasa dan selepas pembedahan dengan laparoskopi atau colposuspension terbuka.
Prosedur menggunakan anduh midurethral (sejenis buaian yang menyokong leher pundi kencing) mungkin berkesan sama seperti laparoskopi colposuspension dalam mengubati kencing tidak lawas dalam jangka pendek dan mengelakkan komplikasi pembedahan. Wanita mungkin kurang berkemungkinan untuk mengulang pembedahan dengan anduh daripada dengan laparoskopi colposuspension. Kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana bukti yang berkualiti rendah.
Laparoskopi colposuspension dengan dua jahitan mungkin lebih baik daripada satu jahitan untuk mengubati kencing tidak lawas dalam jangka pendek, dan untuk mengurangkan risiko gangguan pembuangan air kencing dan keperluan untuk lebih banyak pembedahan, tetapi mungkin ada sedikit perbezaan antara laparoskopi colposuspension dengan dua jahitan atau dengan satu jahitan dari segi komplikasi pembedahan. Sekali lagi, kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana bukti yang berkualiti rendah.
Kami sangat tidak pasti sama ada laparoskopi colposuspension dengan jaring dan dawai kokot adalah lebih baik daripada colposuspension terbuka atau laparoskopi colposuspension dengan jahitan untuk mengubati kencing tidak lawas. Kami juga sangat tidak pasti sama ada wanita yang menjalani laparoskopi colposuspension dengan jaring dan dawai kokot atau dengan jahitan kurang memerlukan pembedahan ulangan. Kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.
Bukti yang kami dapati berkenaan kesan laparoskopi colposuspension tentang kualiti hidup adalah tidak muktamad dan tidak boleh digunakan secara umum.
Kualiti bukti kajian
Secara umumnya, kualiti bukti adalah rendah. Ini bermakna bahawa kami tidak boleh pasti tentang keberkesanan keseluruhan laparoskopi colposuspension berbanding dengan rawatan lain untuk kencing tidak lawas kerana jumlah wanita yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut adalah yang rendah, risiko bias, dan perbezaan keputusan statistik antara kajian.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com