Ubat untuk gangguan tekanan pasca trauma

Mengapakah ulasan ini penting?

Gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) berlaku selepas terdedah kepada trauma yang ketara dan mengakibatkan kos peribadi dan masyarakat yang besar. Walaupun secara tradisionalnya dirawat dengan psikoterapi, rawatan ubat telah terbukti berkesan dalam rawatan PTSD.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

- Orang dengan PTSD.
- Keluarga dan kawan-kawan orang yang mengalami PSTD.
- Pengamal perubatan umum, pakar psikiatri, ahli psikologi, dan ahli farmasi.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

- Adakah farmakoterapi berkesan untuk mengurangkan gejala PTSD pada orang dewasa dengan PTSD?

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

Kami menyertakan kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo atau kawalan, atau kedua-duanya sekali untuk rawatan PTSD pada orang dewasa.
Kami menyertakan 66 kajian dalam ulasan, dengan sejumlah 7442 peserta.

Apakah bukti daripada ulasan memberitahu kami?

Terdapat bukti kesan berfaedah bahawa perencat pengambilan semula serotonin terpilih (SSRI) memperbaiki gejala PTSD berbanding plasebo, berdasarkan bukti berkepastian sederhana. Terdapat juga bukti manfaat untuk noradrenergik dan antidepresan serotonergik spesifik (NaSSA) mirtazapine dan antidepresan trisiklik (TCA) amitriptyline, dalam memperbaiki gejala PTSD, berdasarkan bukti berkepastian rendah. Kami juga tidak menemui bukti manfaat untuk bilangan peserta yang bertambah baik selepas rawatan dengan kumpulan antipsikotik berbanding plasebo, berdasarkan bukti berkepastian sangat rendah. Bagi kelas ubat yang selebihnya, kami tidak melihat bukti manfaat untuk memperbaiki gejala PTSD.

Terdapat bukti mudarat bahawa lebih ramai orang yang mengambil SSRI dan SNRIs tercicir akibat kesan sampingan berbanding mereka yang mengambil plasebo, tetapi kadar mutlak menarik diri adalah rendah untuk kumpulan SSRI.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Kebanyakan bukti untuk keberkesanan farmakoterapi adalah berkaitan dengan SSRI untuk rawatan akut. Terdapat keperluan berterusan untuk membangunkan rawatan farmakoterapeutik baru untuk PTSD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information