Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) awal berbanding tertunda untuk distres respiratori dalam kalangan bayi pramasa

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada bagi bayi pramasa yang mengalami distres respiratori, tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) awal akan meningkatkan manfaat dan mengurangkan mudarat berbanding jika diberi kemudian.

Latar belakang

Bayi pramasa sering kekurangan surfaktan, bahan seperti detergen yang dihasilkan oleh paru-paru. Kekurangan surfaktan menyebabkan paru-paru mereka gagal berkembang dengan betul ketika lahir dan memerlukan usaha yang lebih untuk bernafas. Jika tidak dirawat, kesukaran bernafas akan bertambah buruk dan boleh merosakkan paru-paru. CPAP memperbaik pengembangan paru-paru, menjadikan bayi lebih mudah bernafas, dan mungkin mengurangkan keperluan tekanan ventilasi positif intermiten (IPPV), satu bentuk sokongan respiratori yang lebih berisiko, termasuk risiko terkena sejenis kerosakan paru-paru yang dipanggil displasia bronkopulmonari (BDP). CPAP juga dapat mengurangkan risiko kematian bayi akibat distres respiratori. CPAP diaplikasi melalui pelitup muka, pelitup hidung, ataupun kanula hidung.

Ciri-ciri kajian

Carian adalah terkini sehingga Jun 2020. Kami menemui empat kajian kecil melibatkan sejumlah 119 bayi. Keempat-empat kajian dilakukan pada tahun 1970-an atau awal 1980-an, ketika penggunaan steroid antenatal (diberi kepada ibu untuk membantu paru-paru bayi pramasa menjadi lebih matang) adalah tidak lazim.

Keputusan utama

Dari empat kajian kecil ini, kami tidak pasti sama ada CPAP awal membawa sebarang manfaat atau menyebabkan mudarat.

Kepastian bukti

Keempat-empat kajian yang disertakan mempunyai kelemahan dalam cara perlaksanaan dan semua kajian sangat kecil. Tambahan juga, kajian-kajian ini adalah kajian lama, keputusan kajian mungkin tidak sesuai untuk rawatan semasa bayi pramasa. Oleh itu, kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information