Kanser payudara lanjutan (metastatik) merupakan kanser yang telah merebak ke luar kawasan payudara. Rawatan untuk penyakit metastatik biasanya melibatkan beberapa jenis kemoterapi (ubat anti-barah) untuk cuba mengurangkan barah. Ubat kemoterapi boleh diberikan sebagai agen tunggal atau bersama dengan ubat kemoterapi yang lain. Ini dilakukan mengikut rancangan atau komposisi aturan ubat yang disebut sebagai regim. Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang berfungsi dengan pelbagai cara. Antibiotik antitumour berfungsi dengan merosakkan sel barah, seterusnya mencegah sel tersebut daripada membiak. Kemoterapi secara amnya menghasilkan pelbagai kesan sampingan atau kesan buruk yang berkaitan dengan rawatan. Kesan sampingan antibiotik antitumor yang diketahui termasuk loya, muntah, pengurangan jumlah sel darah putih (dikenali sebagai leukopenia), dan dalam beberapa kes reaksi toksik yang mengubah kerja jantung (disebut kardiotoksisitas).
Ulasan ini bertujuan untuk mengenal pasti dan mengkaji bukti rawak yang membandingkan rawatan kemoterapi yang mengandungi antibiotik antitumor dengan rawatan yang tidak mengandungi antibiotik antitumor. Ulasan ini telah mengenal pasti 34 kajian yang melibatkan 5605 orang wanita. Ulasan ini mendapati bahawa bagi wanita dengan kanser payudara lanjut, pengambilan antibiotik antitumour tidak menghasilkan kelangsungan hidup yang lebih baik daripada wanita yang mengambil jenis ubat kemoterapi yang lain. Walaupun kekurangan bukti manfaat untuk kelangsungan hidup, tinjauan ini telah menunjukkan bahawa wanita yang mengambil ubat-ubat tersebut mempunyai kelebihan dalam masa perkembangannya (jangka masa yang diperlukan untuk kanser berkembang setelah mengambil ubat) dan tindak balas tumor (penyusutan tumor) berbanding dengan wanita yang tidak mengambil ubat antibiotik antitumour. Namun begitu, risiko kesan sampingan termasuk kardiotoksisitas, leukopenia dan loya/muntah semuanya meningkat dengan ketara dalam kalangan wanita yang mengambil antibiotik antitumor. Memandangkan bahawa, tinjauan ini gagal menunjukkan manfaat dalam kelangsungan hidup bagi wanita yang mengambil kumpulan ubat ini tetapi sebaliknya menunjukkan kadar kesan sampingan yang lebih tinggi, penggunaan ubat-ubatan ini dalam pengurusan kanser payudara metastatik mesti dipertimbang dengan teliti terhadap risiko kesan-kesan sampingan tersebut.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohd Shahahrudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.