Kanser payudara adalah salah satu penyebab kematian dan morbiditi yang paling biasa dan kebanyakan wanita yang didiagnos dengan kanser payudara menjalani rawatan yang merangkumi intervensi pembedahan, radioterapi atau kemoterapi, atau kedua-duanya. Ulasan ini berusaha untuk memastikan sama ada masa pembuangan tumor yang dikaitkan dengan fasa kitaran haid yang berlainan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup secara keseluruhan atau kelangsungan hidup tanpa penyakit dalam kalangan pesakit kanser payudara pramenopaus. Fasa kitaran haid folikular berkait dengan hari 0 hingga 14, sebelum ovulasi. Fasa kitaran haid luteal berkait dengan hari 15 hingga 35, selepas ovulasi. Sekiranya perubahan kecil dalam masa pembedahan boleh digunakan untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup, sebarang kesulitan dan kerumitan adalah harga yang kecil untuk dibayar bagi faedahnya. Tiada kajian rawak terkawal yang telah selesai yang membandingkan pembedahan dilakukan semasa fasa folikular dan fasa luteal kitaran haid. Kami telah mengenal pasti satu kajian rawak pelbagai pusat yang sedang berjalan dan tiga kajian pemerhatian prospektif.
Daripada tiga kajian pemerhatian prospektif tersebut, satu melaporkan tiada perbezaan kelangsungan hidup antara kumpulan kitaran haid setelah stratifikasi berdasarkan status kelenjar limfa pada rawatan susulan pada 48 bulan secara purata. Keputusan menunjukkan kekurangan nilai prognostik (kelangsungan hidup tanpa berulang dan kelangsungan hidup keseluruhan) masa pembedahan yang dikaitkan dengan tempoh haid atau tahap estrogen dan progesteron dalam pesakit karsinoma payudara pramenopaus. Satu kajian tidak memberikan data mengenai purata waktu kelangsungan hidup atau tempoh tanpa berulang, dan kajian ketiga tidak melaporkan perbezaan yang signifikan dalam keseluruhan kelangsungan hidup pesakit apabila pembedahan dijalankan sama ada dalam fasa folikular atau luteal kitaran haid.
Kajian rawak terkawal yang besar adalah ideal untuk menentukan pengaruh masa pembedahan berhubung kitaran haid (fasa folikular atau fasa luteal) terhadap prognosis kanser payudara. Namun, tanpa kajian tersebut, maklumat yang diperoleh dari kajian pemerhatian prospektif menunjukkan bahawa tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup bebas penyakit dan kelangsungan hidup secara keseluruhan dalam pesakit kanser payudara bukan metastatik tanpa mengira sama ada pembedahan itu dijalankan semasa fasa folikel ataupun fasa luteal.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia) . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my