Intervensi untuk actinic keratoses

Actinic keratoses adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh pendedahan kepada cahaya matahari untuk jangka masa yang panjang. Kulit yang rosak menunjukkan bintik-bintik kecil, merah, kasar dan leper yang dipanggil actinic keratoses atau lesi (lesion), yang terasa seperti tompokan kulit kering. Tanda-tanda seperti pendarahan dan kesakitan boleh dikaitkan dengan actinic keratoses. Selain itu, actinic keratoses berpotensi untuk menjadi kanser kulit jika tidak dirawat. Sebab-sebab untuk rawatan termasuklah penampilan kosmetik, melegakan simptom, atau mencegah kanser kulit. Rawatan boleh diarahkan ke atas lesi-lesi secara berasingan atau ke atas kawasan kulit yang lebih besar, di mana beberapa lesi boleh muncul samada yang boleh dilihat dan tidak boleh dilihat (rawatan arah kawasan).

Kajian sistematik ini melibatkan hasil dari 83 percubaan klinikal rawak terkawal yang menilai 24 rawatan, dengan 10,036 orang responden yang dikenalpasti dan diagnosis dengan actinic keratosis. Kami sertakan 18 krim topikal atau gel yang disapu pada kawasan kulit oleh responden: gel adapalene, aretinoid methyl sulfone (Ro 14-9706), oleogel berasaskan betulin, calcipotriol (vitamin D), colchicine, diclofenac, 2-(difluoromethyl)-dl-ornithine (DFMO), 5-fluorouracil, ß-1,3-D-glucan, imiquimod, ingenol mebutate (PEP005), isotretinoin, masoprocol, nicotinamide, resiquimod, pelindung matahari, DL-α-tocopherol (vitamin E), dan tretinoin. Salah satu rawatan, etretinate, telah diambil secara oral. Kakitangan klinikal memberi dua rawatan mekanikal (karbon dioksida dan laser pelapisan baru Er:YAG) pada kawasan kulit, dan mereka juga memberi tiga rawatan kimia: cryotherapy (rawatan pembekuan) ke atas lesi-lesi secara berasingan atau pada satu kawasan kulit, dan pengelupasan menggunakan asid trichloroacetic pada kawasan kulit.

Kesan-kesan klinikal hasil daripada rawatan actinic keratoses dilaporkan berbeza antara satu kajian dengan kajian lain. Walaupun terdapat percanggahan, ia dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa pilihan rawatan yang baik untuk actinic keratoses. Actinic keratoses berjaya dirawat dengan rawatan cryotherapy, diclofenac, 5-fluorouracil, imiquimod, ingenol mebutate, terapi photodynamic, pelapisan baru, dan pengelupasan menggunakan asid trichloroacetic. Rawatan yang berbeza-beza ini berkesan secara amnya. Kerengsaan kulit dikaitkan dengan beberapa rawatan, seperti diclofenac dan 5-fluorouracil, tetapi kesan sampingan lain jarang berlaku. Rupa akhir secara kosmetik berbeza untuk satu rawatan dengan rawatan yang lain. Rawatan menggunakan imiquimod dan terapi photodynamic menghasilkan penampilan kosmetik yang lebih baik berbanding cryotherapy dan 5-fluorouracil.

Rawatan dengan terapi photodynamic memberi keputusan terapeutik dan kosmetik yang lebih baik daripada cryotherapy untuk lesi-lesi yang dirawat berasingan. Untuk rawatan arah kawasan, diclofenac, 5-fluorouracil, imiquimod dan ingenol mebutate adalah pilihan yang baik, berkaitan dengan kesan sampingan dan keputusan kosmetik yang berbeza. Oleh itu, pilihan rawatan untuk actinic keratosis bergantung kepada bilangan lesi, keputusan yang dikehendaki oleh individu terbabit, dan toleransi kepada rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi fazarina.m@gmail.com

Tools
Information