Bolehkah siaran awam data prestasi dalam penjagaan kesihatan mempengaruhi tingkah laku pengguna, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan organisasi?

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ni adalah untuk mengetahui jika siaran awam maklumat berkenaan prestasi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan (contohnya hospital dan individu profesional) mempunyai pengaruh yang boleh diukur dalam mengubah tingkah laku pengguna, penyedia dan pembeli perkhidmatan penjagaan kesihatan. Pengulas juga mahu menentukan sama ada hal ini mempengaruhi prestasi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, hasil terhadap pesakit, dan semangat pekerja.

Mesej-mesej utama

Siaran awam data prestasi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam pemilihan penjagaan kesihatan (yang dibuat oleh pengguna atau penyedia), atau prestasi penyedia. Namun, ia mungkin memperbaiki sedikit hasil untuk pesakit.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin diharap untuk memberitahu orang awam tentang betapa bagus prestasi mereka. Walau bagaimanapun, belum diketahui sama ada siaran awam data prestasi mempunyai pengaruh yang boleh diukur terhadap pilihan pesakit ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan, atau sama ada ia sebenarnya boleh memacu peningkatan dalam kualiti penjagaan kesihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Para penulis mencari penulisan untuk kajian yang menilai kesan menyiarkan secara terbuka maklumat prestasi penjagaan kesihatan, dan menjumpai 12 kajian relevan yang menganalisis data daripada lebih 7570 penyedia, dan seterusnya 3,333,386 pertemuan klinikal, iaitu pesakit individu.

Terdapat bukti berkepastian rendah bahawa siaran awam data prestasi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam perkhidmatan yang pesakit pilih untuk akses, keputusan dibuat oleh penyedia penjagaan kesihatan, atau keseluruhan prestasi penyedia. Terdapat bukti berkepastian rendah yang menunjukkan beberapa hasil terhadap pesakit mungkin bertambah baik selepas siaran awam data prestasi, tetapi ini mungkin mempunyai kesan yang kurang ke atas tingkah laku populasi yang kurang beruntung. Tiada bukti berkaitan keputusan penggunaan penjagaan kesihatan oleh pembeli, atau kesan buruk.

Walaupun beberapa kajian secara individunya dijalankan dengan baik, terdapat beberapa limitasi: terutamanya, bukti-bukti mempunyai perbezaan besar dari segi latar (contohnya Amerika Syarikat atau Korea), keadaan kesihatan (contohnya serangan jantung atau penggantian pinggul), jenis data prestasi (contohnya proses atau hasil terhadap pesakit), dan cara data diterbitkan (contohnya sebaran mel atau poster). Penemuan kajian juga tidak konsisten dengan beberapa kajian melaporkan perubahan disebabkan siaran awam maklumat dan kajian lain melaporkan tiada perubahan seperti itu.

Adakah ulasan ini terkini?

Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli, Cyberjaya University College of Medical Sciences. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan terjemahan sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com .

Tools
Information