Rawatan ubat antiepileptik segera, berbanding plasebo, penangguhan atau tanpa rawatan untuk sawan pertama yang tidak diprovokasi

Latar belakang

Rawatan ubat antiepileptik berikutan sawan yang berlaku pertama kali masih menjadi isu kontroversi. Dalam ulasan ini, kami merumuskan bukti tentang keberkesanan rawatan segera dengan ubat-ubatan antiepileptik berbanding dengan kawalan (plasebo [rawatan palsu yang tidak aktif], penangguhan atau tiada rawatan) pada sawan berulang, remisi sawan, kesan-kesan sampingan serta mortaliti (kematian).

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2019.

Kaedah

Pencarian penulisan kami menjumpai enam kajian (sebelas laporan) yang melibatkan kanak-kanak, orang dewasa, ataupun kedua-duanya, dengan sawan pertama yang tidak diprovokasi dalam semua jenis (fokal, umum atau yang tidak dikelaskan). Mereka membandingkan rawatan antiepileptik yang diberikan segera selepas berlakunya sawan pertama yang tidak diprovokasi dengan rawatan penangguhan (dilewatkan), plasebo atau tanpa rawatan. Sebilangan kajian tidak menjelaskan kaedah mereka dengan jelas, atau bilangan orang yang menarik diri daripada kajian-kajian tersebut. Dalam lima daripada enam kajian, para peserta, doktor dan penyelidik yang terlibat dalam kajian mengetahui kumpulan peserta yang terlibat (rawatan segera atau ditangguhkan). Namun, kebanyakan ulangan sawan adalah sawan tonik-klonik umum, sejenis kejang yang mudah dikenali, oleh itu kami fikir bahawa mengetahui jenis kumpulan peserta tidak akan mempengaruhi hasil kajian.

Keputusan

Berbanding dengan kawalan, peserta yang dirawakkan kepada rawatan segera mempunyai kebarangkalian yang rendah untuk mendapat ulangan sawan pada satu tahun dan lima tahun (bukti berkepastian tinggi), walaupun tidak ada perbezaan antara rawatan segera dan kawalan dari segi remisi dalam tempoh lima tahun pada bila-bila masa.

Rawatan segera tidak menyumbang kepada kematian epilepsi secara keseluruhan selepas sawan pertama (bukti berkepastian tinggi), tetapi rawatan sawan pertama sangat berkait dengan risiko tinggi kejadian kesan-kesan sampingan. Kepastian bukti tentang kesan-kesan sampingan adalah sederhana hingga rendah dengan pelaporan hasil yang berbeza dari kajian-kajian yang disertakan; terdapat bukti berkepastian sederhana yang menyatakan bahawa rawatan segera akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding dengan rawatan yang ditangguhkan, tetapi adalah tidak jelas jika rawatan segera akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, rawatan terhadap sawan pertama yang tidak diprovokasi nampaknya dapat mengurangkan risiko ulangan sawan tetapi tidak mempengaruhi prognosis jangka panjang epilepsi. Namun, rawatan nampaknya membawa risiko kesan sampingan yang lebih tinggi. Keputusan untuk merawat sawan pertama yang tidak diprovokasi perlu diambil secara individu dan berdasarkan faktor-faktor klinikal, undang-undang dan sosiobudaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information