Intervensi untuk menghentikan tabiat hisapan puting atau jari atau ibu jari di kalangan kanak-kanak.

Soalan ulasan

Ulasan ini dibuat untuk menilai keberkesanan intervensi bagi menghentikan tabiat menghisap dalam kanak-kanak yang tidak berkaitan dengan makanan.Pertimbangan utama: rawatan atau kombinasi rawatan manakah lebih berkesan, bila rawatan patut dimulakan, apakah tempoh masa optima intervensi dan apakah yang menyebabkan gangguan yang paling kurang dalam kalangan kanak-kanak dan ibubapa?

Latarbelakang

Bayi dan kanak-kanak sering membentuk tabiat menghisap objek untuk keselesaan dan ketenaan.Mereka kerap menghisap puting, jari, ibu jari atau objek lain seperti selimut.Akhirnya, kebanyakan kanak-kanak akan meninggalkan tabiat dengan galakan dari ibubapa.Namun sesetengah kanak-kanak meneruskan tabiat ini.Jika mereka teruskan tabiat tersebut sambil gigi kekal tumbuh (sekitar enam tahun), terdapat risiko gigi kekal untuk tumbuh ke dalam posisi yang salah menyebabkan gigi tumbuh terkeluar ke hadapan atau tidak bertemu dengan betul apabila menggigit. Akhirnya, kanak-kanak ini sering memerlukan rawatan pergigian untuk membetulkan masalah yang timbul akibat tabiat menghisap.

Beberapa rawatan untuk membantu kanak-kanak menghentikan tabiat menghisap yang dinilai dalam kajian-kajian yang termasuk dalam ulasan ini adalah penggunaan dua jenis pendakap dalam mulut, memberi nasihat dan insentif untuk mengubah tingkah laku (dikenali sebagai rawatan/nasihat psikologi); mengaplikasi bahan yang pahit atau rasa tidak enak kepada jari/ibu jari kanak-kanak atau pun kombinasi rawatan.Tiada kajian yang menilai kaedah halangan misalnya penggunaan sarung tangan atau plaster atau juga penarikan puting.

Ciri kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan ulasan ke atas kajian-kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 8 Oktober 2014.Ulasan ini termasuk enam kajian dari 1967 hingga 1997, melibatkan 252 kanak-kanak sebagai peserta (walaupun data hanya diberi untuk 246 kanak-kanak).Tiga kajian dijalankan di Amerika Syarikat, dan setiap satu di Kanada, Sweden dan Asutralia.

Tidak semua kajian menyatakan umur kanak-kanak yang terlibat; dalam empat kajian, kanak-kanak berumur di antara dua tahun setengah hingga 18 tahun, dalam satu kajian kanak-kanak adalah berumur empat tahun ke atas dan dalam kajian satu lagi mereka berumur sembilan tahun ke atas.

Keputusan

Penggunaan pendakap ortodontik (misalnya 'crib' palatal atau lengkung) atau intervensi psikologi (misalnya penggunaan pengukuhan positif atau negatif, atau kedua-dua lebih cenderung untuk menghentikan tabiat berbanding tiada rawatan.Kebanyakan kajian yang membandingkan dua intervensi adalah tidak muktamad tetapi satu kajian mencadangkan dua jenis pendakap iaitu 'crib' palatal lebih berkesan berbanding rekabentuk lengkungan palatal.

Kualiti bukti

Bukti yang ditunjukkan adalah lemah kerana bilangan kecil peserta kajian dan bilangan kajian adalah kecil serta masalah dengan kaedah setiap kajian dijalankan.Terdapat risiko bias yang tinggi dalam kajian-kajian tersebut.

Rumusan

Pendakap ortodontik atau intervensi psikologi kelihatan berkesan untuk mmebantu kanak-kanak berhenti menghisap objek yang tidak berkaitan pemakanan tetapi bukti adalah berkualiti rendah. Kajian klinikal lanjutan yang berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu dalam membuat keputusan tentang masalah lazim yang memerlukan rawatan pergigian yang lama dan mahal untuk dibetulkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Mrelaka-Manipal). Disunting oleh Ernie Yap (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information