Apakah tujuan ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan prosedur laser dengan pendekatan lain bagi menurunkan tekanan di dalam mata bagi penghidap glaukoma yang tidak pernah dirawat dengan pembedahan. Penyelidik Cochrane mencari dan menganalisa kesemua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini tetapi hanya menemui satu kajian.
Mesej utama
Kami tidak mengetahui sama ada jenis pembedahan laser sebegini adalah lebih selamat atau lebih berkesan berbanding pembedahan lain untuk merawat glaukoma. Kami hanya menyertakan satu kajian dalam ulasan ini. Kajian ini membandingkan diod laser tenaga rendah dengan tenaga tinggi, dan keputusan antara kumpulan rawatan adalah terlalu serupa untuk membuat sebarang kesimpulan. Tambahan lagi, kajian ini tidak membandingkan pembedahan laser destruktif dengan kaedah pembedahan yang lain. Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami keberkesanan prosedur laser destruktif sebagai rawatan utama glaukoma.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Glaukoma adalah sejenis penyakit yang progresif merosakkan saraf optik (mata) yang mengakibatkan kehilangan penglihatan. Ia adalah punca utama kebutaan di seluruh dunia. Apabila dirawat lebih awal, kehilangan penglihatan mungkin dapat dilambatkan atau dihalang.
Tekanan intraokular adalah faktor risiko utama yang boleh dirawat bagi glaukoma. Epitelium badan siliari menghasilkan cecair yang membina tekanan di dalam mata. Adalah dipercayai bahawa prosedur yang memusnahkan epitelium badan siliari, yang dikenali sebagai prosedur siklodestruktif, boleh mengurangkan tekanan intraokular sebagai rawatan untuk glaukoma. Terdapat pelbagai kaedah untuk prosedur siklodestruktif; yang paling biasa ialah laser. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai rawatan laser yang memusnahkan epitelium badan siliari. Ulasan ini memfokuskan kepada keberkesanan dan keselamatan prosedur yang terlibat dengan menilai kawalan tekanan intraokular, penglihatan, kawalan kesakitan dan kesan sampingan.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui satu kajian melibatkan 92 penghidap glaukoma. Kajian ini membandingkan diod fotokoagulasi transklera tenaga rendah dengan tenaga tinggi, sejenis prosedur laser untuk menghentikan penghasilan cecair di dalam mata. Kajian ini telah dijalankan di Ghana, dan peserta kajian disusuli selama 13 bulan secara purata.
Keseluruhannya, 47% mata yang dirawat dengan siklofotokoagulasi transklera mengalami penurunan tekanan intraokular sebanyak 20% atau lebih, dan tidak terdapat perbezaan antara kumpulan tenaga rendah dengan kumpulan tenaga tinggi untuk sebarang keputusan yang dilaporkan. Kawalan tekanan intraokular adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan rawatan. Bilangan ubat-ubatan yang digunakan selepas rawatan juga adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan. Kesan sampingan tidak dilaporkan secara berasingan oleh kumpulan rawatan masing-masing. Maklumat mengenai keputusan penting yang lain tidak dilaporkan.
Berdasarkan ulasan ini, tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada siklofotokoagulasi transklera adalah rawatan pembedahan utama yang sesuai untuk glaukoma bukan refraktori, mahupun sama ada seting diod tenaga rendah atau tenaga tinggi adalah lebih selamat atau lebih berkesan untuk merawat glaukoma.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan setakat 7 Ogos 2017.
Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my