Kajian ketepatan ujian diagnostik Cochrane ini melihat bukti untuk ujian radiologi computed tomography angiography (CTA), yang menunjukkan aliran darah dalam saluran utama otak, untuk menyokong keputusan ujian klinikal fungsi otak yang dilakukan pada pesakit yang tidak sedarkan diri yang bergantung pada mesin pernafasan mekanikal yang dianggap oleh doktor mereka telah mati.
Menghasilkan diagnosis yang betul adalah sangat penting kerana diagnosis tersebut mengesahkan kematian pesakit, yang akan mempunyai implikasi undang-undang dan masyarakat yang mendalam termasuk penyediaan organ untuk pemindahan. Diagnosis kematian menggunakan kriteria neurologi, atau kematian otak, biasanya dibuat dengan melakukan set ujian klinikal yang sangat khusus ke atas pesakit. Walau bagaimanapun dalam beberapa kes, contohnya apabila pesakit dibius atau dibius sepenuhnya, ujian ini mungkin tidak dapat dilakukan dan ujian tambahan seperti CTA adalah diperlukan. Di sesetengah negara adalah menjadi syarat berkanun bagi doktor untuk sentiasa menjalankan ujian tambahan dan baru-baru ini beberapa doktor meminta ujian tambahan ini diwajibkan walaupun tiada keperluan berkanun. Ia adalah penting untuk doktor mengetahui betapa bergunanya CTA jika dibandingkan dengan, atau ditambah kepada, ujian klinikal biasa.
Sepuluh kajian ditemui, memasukkan sejumlah 366 pesakit. Kebanyakan kajian dilakukan di jabatan rawatan rapi tetapi hanya melibatkan sebilangan kecil pesakit. Dalam kebanyakan kajian adalah mungkin doktor yang menjalankan ujian CTA sudah mengetahui keputusan ujian klinikal. Ini mungkin menjejaskan keputusan kajian, namun keadaan ini juga akan berlaku dalam amalan perubatan biasa. Kaedah yang digunakan untuk melaporkan kajian CTA juga berbeza dari satu kajian ke satu kajian dan oleh itu keputusan yang diterbitkan telah dianalisis semula untuk mengambil kira perkara ini.
Apabila dibandingkan dengan ujian klinikal untuk kematian otak, ujian CTA mempunyai sensitiviti 0.85. Ini bermakna bahawa dalam 100 kes pesakit yang memenuhi ujian klinikal untuk kematian, ujian CTA akan mengenal pasti 85 kes dengan betul. Data juga menunjukkan bahawa ini mungkin sekurang-kurangnya 77 kes setiap 100 dan sebanyak 91 kes setiap 100. Ulasan kami tidak dapat memberitahu kami berapa ramai pesakit yang CTA mungkin memberikan diagnosis kematian secara salah, apabila pesakit belum mati. Berdasarkan keputusan ini, nampaknya CTA adalah tidak cukup baik untuk menjadi ujian wajib.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my