Bayi ibu yang menghidap kencing manis semasa kehamilan, sama ada kencing manis yang sudah dihidap sebelum kehamilan ataupun yang baru dilacak semasa mengandung, berisiko tinggi untuk mengalami masalah gula darah rendah selepas kelahiran. Hal ini demikian kerana bayi telah terdedah kepada paras gula (glukosa) dalam darah yang lebih tinggi daripada biasa semasa mengandung dan seterusnya menghasilkan insulin yang agak tinggi. Sesetengah bayi ini memerlukan susu badan ibu tambahan, susu formula atau rawatan di nurseri jagaan khas untuk menjalani rawatan cecair intravena untuk membetulkan paras gula darah rendah.
Sesetengah penyedia khidmat penjagaan ibu bersalin dan ibu hamil berpendapat bahawa pemerahan dan penyimpanan kolostrum, iaitu susu badan ibu yang mempunyai kandungan zat yang tinggi semasa kehamilan, dapat diberikan kepada bayi jika si bayi mengalami masalah gula darah rendah selepas kelahiran. Ini dapat mengurangkan penggunaan susu formula, rawatan cecair intravena dan pemisahan bayi daripada si ibu jika si bayi harus dirawat di nurseri jagaan khas. Walaupun proses ini kelihatan logik dan kadang-kadang disyorkan, dua kajian berbentuk pemerhatian skala kecil menunjukkan bahawa ibu yang memerah susu badan semasa mengandung lebih cenderung mempunyai bayi pramatang dan lebih banyak bayi memerlukan jagaan di nurseri jagaan khas berbanding dengan ibu yang tidak memerah susu badan semasa kehamilan.
Ulasan sistematik ini bertujuan mengenal pasti kajian terkawal rawak yang membandingkan titik hasil bagi ibu yang menghidap diabetes yang dinasihatkan untuk memerah susu badan dengan ibu yang tidak dinasihatkan untuk mengamalkan pemerahan dan penyimpanan susu badan semasa mengandung. Saringan pangkalan data gagal mengenalpasti sebarang penyelidikan yang telah selesai dijalankan, manakala satu kajian klinikal sedang berlangsung.
Tidak ada bukti bertahap tinggi tentang potensi manfaat dan kemudaratan pemerahan dan penyimpanan susu badan ibu semasa kehamilan oleh ibu yang menghidap kencing manis.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).