Rawatan mikro-invasif untuk mengendali kerosakan gigi di permukaan bersebelahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Soalan sorotan

Sorotan ini bertujuan untuk menilai kesan rawatan mikro-invasif dalam mengendali kerosakan permukaan bersebelahan (proksimal) gigi dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa (gigi primer dan kekal).

Latarbelakang

Kerosakan permukaan bersebelahan gigi (permukaan proksimal) adalah lazim. Kerapkali ia tidak melarat ke peringkat lewat kerosakan dan kaviti belum terbentuk pada permukaan gigi.

Pelbagai kaedah diguna untuk mengendali kerosakan permukaan proksimal gigi. Kaedah lazim adalah dengan mengeluarkan tisu gigi yang rosak dan menampal dengan tampalan plastik atau logam.Namun, dalam proses tersebut, banyak tisu gigi yang elok terbuang dan ini dianggap sebagai invasif.Satu kaedah tidak invasif yang diguna adalah mengaplikasi varnis fluorida oleh pengamal pergigian atau menasihatkan mereka untuk kerap memflos. Kaedah tidak invasif ini tidak memerlukan pembuangan tisu gigi.

Pendekatan terkini (rawatan mikro-invasif) melibatkan penyediaan (pengolahan) permukaan gigi dengan asid dan meletak bahan pengap (penutup) pada permukaan gigi atau meletakkan resin pada tisu ternyahmineral yang lebih lembut.Kaedah baru ini berfungsi mewujudkan halangan di permukaan gigi atau di dalam tisu ternyahmineral bagi melindungi daripada asid dan mengelak kehilangan mineral berterusan dari dalam gigi.Teori ini sepatutnya menghentikan kerosakan.Pendekatan in boleh dibuat oleh doktor pergigian atau pengamal pergigian lain dan melibatkan kehilangan beberapa mikrometer tisu gigi kerana perlunya mengolah permukaan gigi dengan asid.

Masih terdapat keraguan tentang keberkesanan rawatan mikro-invasif untuk mengendali kerosakan proksimal. Adalah tidak jelas sama ada teknik-teknik ini lebih baik dari yang lain.Misalnya, asid yang lebih kuat diperlukan supaya resin dapat menyusup tisu yang berliang berbanding permukaan gigi yang dipengap atau ditutup. Walaupun penyusupan merupakan kaedah yang lebih berkesan melindungi tisu berbanding pengapan, penggunaan asid yang lebih kuat boleh membawa kepada kehilangan lebih tisu. Sorotan in bertujuan mencari pendekatan terbaik untuk mengendali kerosakan tersebut dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.

Ciri kajian

Sorotan ini mengambil kira bukti terkini sehingga 31 Disember 2014. Kami mendapati lapan kajian yang melibatkan 365 peserta. Kajian-kajian ini melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa yang mana kerosakan gigi dibahagi secara rawak kepada rawatan invasif dan tidak invasif yang berbeza. Tiada kajian yang membandingkan intervensi mikro-invasif dengan rawatan invasif (tampalan).Empat kajian menerima bantuan kewangan untuk menjalankan kajian daripada pencipta intervensi atau pengeluar.

Keputusan utama

Keputusan utama Terlalu sedikit bilangan kajian untuk menentukan teknik rawatan mikro-invasif yang terbaik ataupun impak pelbagai pertimbangan klinikal dan pesakit.Tiada kesan sampingan negatif yang dilaporkan, namun hanya separuh dari kajian-kajian tersebut mengukur hasil ini dan jangkamasa susulan sesetengah kajian adalah singkat.

Kualiti bukti 

Walaupun kajian lanjut mungkin boleh mengubah hasil dapatan, bukti sedia ada memberi keyakinan sederhana rawatan mikro-invasif adalah lebih berkesan untuk menghentikan kerosakan gigi berbanding dengan rawatan tidak invasif.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information