Apakah soalannya?
Gonorrhea adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae, dan merupakan cabaran kesihatan awam yang utama. Ia paling kerap tersebar melalui hubungan seks (iaitu persetubuhan faraj, seks oral, atau seks dubur), tetapi juga boleh tersebar dari seorang wanita hamil kepada bayi semasa kelahiran. Wanita sering tidak mempunyai gejala gonorea. Organisme gonorea boleh tersebar dari tapak setempat awal ke dalam darah dan menyebabkan jangkitan kepada organ lain. Gejala jangkitan gonokokus yang disebarkan termasuk ruam, demam, sakit sendi, jangkitan sendi, dan keradangan tendon, lapisan dalaman jantung (endokarditis), dan membran yang meliputi otak dan korda spina (meningitis). Kami mengulas keberkesanan klinikal dan kesan buruk antibiotik untuk merawat gonorea dalam kalangan wanita hamil.
Kemas kini ulasan ini menggantikan ulasan Cochrane yang terdahulu mengenai topik ini.
Mengapa ini penting?
Gonorea boleh menyebabkan masalah bagi kedua-dua wanita hamil dan bayinya. Ia dikaitkan dengan kelahiran pramasa, ruptur membran pra-pelahiran, berat lahir rendah, dan keradangan lapisan dalam uterus (endometritis) selepas bersalin. Bayi boleh dijangkiti semasa lahir, dan kadang-kadang oleh penyebaran jangkitan sebelum lahir, apabila membran ruptur terlalu awal sebelum lahir. Ini boleh menyebabkan jangkitan mata (oftalmia neonatorum - jangkitan mata semasa lahir) ketika bayi melalui kanal lahir.
Apakah yang kami dapati?
Kami mencari bukti pada April 2017 dan mendapati dua kajian rawak terkawal, dijalankan di jabatan pesakit luar dua hospital yang sama di AS, di antara 1993 dan 2001. Satu kajian ditaja oleh syarikat ubat. Kajian ini merawak sejumlah 514 wanita hamil (347 wanita dianalisis), pada usia gestasi purata 22 minggu. Kedua-dua kajian mempunyai tempoh susulan 14 hari.
Kami tidak dapat mengumpul keputusan-keputusan kerana kajian-kajian tersebut menggunakan perbandingan yang berbeza. Satu kajian membandingkan ceftriaxone (125 mg, intramuskular) dengan cefixime (400 mg, oral), dan kajian yang satu lagi menilai dos tinggi ceftriaxone (250 mg, intramuskular) berbanding amoxicillin (3 g, oral) ditambah dengan probenecid (1 g, oral) atau spectinomycin (2 g, intramuskular). Kami tidak memasukkan data dari kumpulan spectinomycin kerana ubat ini tidak lagi dihasilkan.
Kami mendapati tiada perbezaan jelas dalam kadar penyembuhan jangkitan gonokokus (kedua-dua organ genital dan yang tidak berkaitan dengan organ-organ genital) untuk kumpulan rawatan yang berbeza, yang berada dalam urutan 89% hingga 96% (kualiti bukti sangat rendah).
Kajian-kajian tidak melaporkan kejadian komplikasi obstetrik, jangkitan gonokokus yang disebarkan dalam kalangan ibu, atau ofthalmia neonatorum dalam kalangan bayi.
Ia menyediakan sedikit maklumat mengenai kesan sampingan rejimen antibiotik. Satu kajian melaporkan satu kes muntah dalam kumpulan amoxacillin oral ditambah dengan probenecid. Kajian-kajian melaporkan sakit di tapak suntikan, tetapi tidak melaporkan bilangan atau keterukan. Hiperbilirubinemia (di mana bayi mempunyai bilirubin yang terlalu banyak dalam darah) adalah lebih kerap pada bayi baru lahir yang terdedah kepada ceftriaxone. Tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan untuk kecacatan neonatal.
Apakah maksudnya?
Kami mendapati tahap penyembuhan jangkitan gonokokus yang tinggi semasa hamil dengan rejimen antibiotik yang diberi, tetapi tiada cukup bukti untuk menyokong satu rejimen tertentu berbanding yang lain.
Walaupun tahap penyembuhan adalah tinggi, keyakinan kami terhadap keputusan ulasan ini adalah sangat rendah kerana kedua-dua kajian yang disertakan adalah kecil, tiada pembutaan wanita kepada rawatan yang mereka terima, dan mempunyai jumlah penarikan diri yang tinggi (28% dan 41%), yang bermaksud kajian berisiko bias tinggi. Oleh itu, terdapat keperluan untuk kajian yang berkualiti tinggi dijalankan bagi menilai keberkesanan klinikal dan potensi mudarat antibiotik untuk merawat gonorea dalam kalangan wanita hamil.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.