Soalan ulasan
Kami mengulas bukti manfaat pemantauan indeks bispektral (BIS) berbanding kaedah penilaian klinikal (CA) dalam kalangan orang dewasa yang disambungkan dengan mesin pernafasan (ventilator) di unit penjagaan intensif (ICU).
Latar belakang
Pemantauan BIS mengikuti aktiviti elektrik otak untuk menghasilkan skor. Skor ini boleh membantu staf hospital memutuskan sama ada seseorang yang sedang menggunakan ventilator menerima cukup sedatif untuk keselesaannya dan dapat menerima ventilator. Sedatif adalah ubat-ubatan yang diambil untuk kesan penenang dan membolehkan tidur. Memberi terlalu banyak atau terlalu sedikit, sedatif boleh memudaratkan. Dalam kaedah CA, memerhatikan faktor klinikal seperti kesedaran, pemahaman dan respon kepada arahan membantu menilai kedalaman sedasi atau tidur. Skor yang disediakan oleh monitor BIS tidak bergantung kepada individu. Pemantauan oleh CA mungkin berbeza di antara para penjaga.
Matlamat kami adalah untuk mengetahui sama ada pemantauan BIS adalah bermanfaat berbanding CA bagi orang dewasa yang kritikal yang menggunakan ventilator.
Ciri-ciri kajian
Bukti yang dikenal pasti dari carian literatur kami adalah terkini hingga Mei 2017. Empat kajian rawak terkawal memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan ini (melibatkan 256 orang dewasa). Satu lagi kajian sedang menunggu klasifikasi. Kajian-kajian ini dijalankan di ICU pembedahan dan surgikal dan campuan perubatan-surgikal dewasa, dan membandingkan pemantauan BIS dengan pelbagai langkah untuk CA.
Sumber pembiayaan kajian
Untuk satu kajian, pengeluar peranti pemantauan BIS menyediakan peralatan. Syarikat tersebut tidak berperanan dalam menjalankan kajian itu. Satu lagi kajian dibiaya sebagai sebahagian daripada projek sains dan teknologi. Tiada maklumat pembiayaan untuk dua kajian lain.
Keputusan utama
Dengan pemantauan BIS, kami mendapati tiada perbezaan yang ketara dalam tempoh tinggal ICU (satu kajian, 50 orang dewasa), tempoh ventilasi (dua kajian, 155 orang dewasa) dan risiko kejadian buruk (satu kajian, 105 orang dewasa) berbanding dengan CA. Peristiwa buruk klinikal yang relevan, contohnya, penyingkiran tiub pernafasan secara tidak sengaja, tidak dilaporkan. Kami tidak dapat mengukur perbezaan gabungan amaun penggunaan sedatif kerana protokol penenang dan sedatif yang berbeza digunakan. Tiada hasil lain yang menarik untuk diulas, contohnya, kematian, pneumonia berkaitan dengan ventilator, kualiti hidup dan lain-lain dilaporkan dalam mana-mana kajian.
Kualiti bukti
Penemuan ulasan kami adalah dari beberapa kajian yang terhad yang menyediakan bukti GRADE berkualiti 'rendah hingga sangat rendah'.
Kesimpulan
Para penulis ulasan ini menyimpulkan bahawa kami mendapati tiada bukti yang cukup tentang kesan pemantauan BIS berbanding CA sedasi dalam kalangan pengguna ventilator dewasa yang kritikal.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.