Soalan ulasan
Bagaimanakah pembedahan abdomen lubang-kunci (laparoskopi) berbanding dengan pembedahan abdomen standard (terbuka) untuk pesakit dengan kanser salur pemakanan (esofagus)?
Latar belakang
Esofagus (salur pemakanan) terletak terutamanya dalam dada; ia memasuki abdomen (perut) melalui lubang pada diafragma (otot yang memisahkan dada dari abdomen). Pembuangan ketumbuhan melalui pembedahan (esofagektomi) adalah salah satu daripada rawatan yang disyorkan untuk kanser yang terhad kepada esofagus. Ketumbuhan boleh dikeluarkan melalui pembukaan pada abdomen (perut), dada, atau gabungan kedua-duanya. Apabila ketumbuhan dikeluarkan melalui pembukaan abdomen, ia dipanggil esofagektomi transhiatal (kerana esofagus dipisahkan daripada struktur sekitarnya melalui pembukaan di diafragma). Pembedahan abdomen boleh dilakukan sama ada melalui lubang kunci atau pembedahan standard. Pembedahan lubang kunci untuk membuang kanser esofagus (esofagektomi transhiatal laparoskopi ) adalah satu prosedur yang agak baru berbanding dengan pembedahan standard yang sudah lama digunakan (esofagektomi transhiatal terbuka). Dalam pembedahan bahagian-bahagian badan yang lain, didapati pembedahan laparoskopi telah mengurangkan komplikasi dan jangka masa penginapan di hospital berbanding pembedahan terbuka.
Walau bagaimanapun, kebimbangan tentang keselamatan pembedahan laparoskopi tetap wujud. Apakah perbezaan komplikasi selepas pembedahan antara kedua-dua prosedur tersebut? Adakah pembedahan laparoskopi membuang jumlah sama tisu kanser dan tisu sempadan yang sihat seperti pembedahan terbuka? Adakah pesakit akan pulih dengan lebih pantas selepas pembedahan laparoskopi atau pembedahan terbuka? Kami berusaha untuk menyelesaikan isu-isu ini dengan mencari kesusasteraan perubatan untuk kajian mengenai topik ini.
Ciri-ciri kajian
Kajian rawak terkawal adalah jenis kajian yang terbaik untuk mengetahui sama ada satu rawatan adalah lebih baik daripada yang lain kerana ia memastikan bahawa jenis pesakit yang sama menerima rawatan yang baru dan lama. Tetapi kami tidak dapat mencari kajian rawak terkawal yang berkenaan; kami telah mengenalpasti enam kajian bukan rawak yang berkaitan, yang melibatkan seramai 334 pesakit, yang membandingkan pembedahan laparoskopi dan terbuka. Oleh sebab salah satu kajian tidak memberikan hasil yang boleh digunakan, lima kajian, dengan 326 pesakit, menyediakan maklumat untuk ulasan ini; pembedahan laparoskopi = 151 pesakit dan pembedahan terbuka = 175 pesakit. Dalam empat daripada lima kajian-kajian ini, maklumat lama telah dikumpulkan daripada rekod hospital. Dalam satu kajian, maklumat baru telah dikumpulkan. Secara umum, maklumat baru dianggap lebih boleh dipercayai berbanding dengan maklumat daripada rekod hospital.
Keputusan utama
Perbezaan antara laparoskopi dan esofagektomi transhiatal terbuka adalah tidak tepat untuk: kematian dalam jangka pendek dan jangka panjang, peratusan pesakit yang mempunyai komplikasi utama, penyempitan tempat pertemuan baru antara usus yang diwujudkan selepas mengeluarkan esofagus, pengembalian kanser dalam jangka pendek dan jangka panjang, dan kadar pesakit yang memerlukan transfusi darah. Kadar pesakit dengan sebarang komplikasi dan jangka masa purata penginapan hospital adalah lebih kurang dalam kumpulan yang dibedah melalui lubang kunci berbanding kumpulan pembedahan terbuka. Maklumat adalah kurang jelas tentang perbezaan dalam jumlah transfusi darah antara kedua-dua kumpulan. Tiada kajian yang melaporkan kesukaran menelan selepas pembedahan, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, jumlah masa yang diperlukan untuk kembali ke aktiviti biasa (mobiliti sama seperti sebelum pembedahan), atau pekerjaan.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah. Ini adalah kerana maklumat adalah tidak jelas sama ada peserta yang menerima pembedahan laparoskopi adalah serupa dengan pesakit yang menjalani pembedahan terbuka. Ini menjadikan hasil kajian tidak boleh dipercayai. Kajian rawak terkawal yang direka dengan baik diperlukan untuk mendapatkan bukti yang berkualiti tinggi tentang kaedah terbaik untuk melaksanakan esofagektomi.
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.