Ketepatan skala strok prahospital bagi mengenalpasti serangan strok atau serangan iskemia transien (TIA)

Latar belakang

Strok adalah masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa dimana sel-sel otak mengalami kerosakan mengejut. Ia boleh disebabkan oleh saluran darah ke bahagian otak tersumbat akibat gumpalan (darah/kolesterol/ketumbuhan) ataupun pendarahan dalam otak. Jika simptom-simptom hilang dalam masa 24 jam tanpa meninggalkan kesan yang berkekalan, ia dipanggil TIA (strok mini). Rawatan yang berkesan bergantung pada pengenalan awal serangan strok dan kelewatan rawatan boleh mengakibatkan kerosakan otak ataupun kematian.

Perkhidmatan perubatan kecemasan adalah langkah pertama perawatan bagi orang yang mengalami gejala strok. Paramedik perubatan boleh mengenal pasti pengidap strok dengan lebih tepat jika mereka menggunakan senarai semak yang dikenali sebagai skala kenalpasti strok. Di dalam skala tersebut simptom-simptom dan maklumat lain yang sedia ada telah dimasukkan. Hasil positif pada skala menunjukkan risiko tinggi strok dan keperluan penilaian segera oleh pakar kesihatan. Skala ini tidak membezakan antara stroke dan TIA; perkara ini dilakukan di hospital oleh pakar neurologi atau pakar strok.

Objektif kami adalah mengkaji semula bukti kajian mengenai bagaimana skala kenalpasti strok dapat mengesan strok atau TIA dengan tepat apabila digunakan oleh paramedik atau petugas prahospital yang lain, yang merupakan kumpulan pertama yang berjumpa dengan mereka yang disyaki mendapat serangan strok.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 30 Januari 2018. Kami memasukkan kajian-kajian yang menilai ketepatan skala kenalpasti strok apabila digunakan di luar hospital ke atas orang dewasa yang disyaki mendapat serangan stok.

Kami memasukkan 23 kajian yang menilai skala-skala berikut: Cincinnati Prehospital Stroke Scale (CPSS; 11 kajian), Recognition of Stroke in the Emergency Room (ROSIER; lapan kajian), Face Arm Speech Time (FAST; lima kajian), Los Angeles Prehospital Stroke Scale (LAPSS; lima kajian), Melbourne Ambulance Stroke Scale (MASS; tiga kajian), Ontario Prehospital Stroke Screening Tool (OPSST; 1 kajian), Medic Prehospital Assessment for Code Stroke (MedPACS; 1 kajian) and PreHospital Ambulance Stroke Test (PreHAST; 1 kajian). Sembilan kajian membandingkan dua atau lebih skala dikalangan orang yang sama. Keputusan dari lima kajian telah digabungkan untuk membuat anggaran ketepatan ROSIER di unit kecemasan (ER) dan lima kajian untuk membuat anggaran ketepatan LAPSS apabila digunakan oleh petugas ambulan.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian tersebut mempunyai kualiti yang kurang baik atau tidak jelas dan kami tidak dapat memastikan hasil kajian mereka adalah sah.

Keputusan utama berkaitan ketepatan skala strok prahospital yang dinilai

Kajian-kajian berbeza jauh dari segi peserta kajian dan ciri-ciri lain. Akibatnya, kajian yang menilai skala yang sama melaporkan hasil kajian yang berbeza-beza.

Kami menggabungkan lima kajian yang menilai ROSIER di unit kecemasan dan memperolehi sensitiviti purata 88% (88 daripada 100 orang dengan strok / TIA akan positif ujian dengan ROSIER). Kami tidak dapat memperolehi anggaran spesifisiti (berapa ramai orang tanpa strok / TIA yang akan mendapat ujian negatif).

Kami juga menggabungkan keputusan untuk LAPSS, tetapi kajian yang disertakan kurang berkualiti dan keputusannya berkemungkinan tidak sah. Skala selebihnya telah dinilai oleh bilangan kajian yang lebih kecil atau hasilnya terlalu berbeza untuk digabungkan secara statistik.

Sebilangan kecil kajian membandingkan dua atau lebih skala bila digunakan untuk peserta yang sama. Kajian sedemikian lebih cenderung untuk menghasilkan keputusan yang sah kerana skala digunakan dalam keadaan yang sama. Mereka melaporkan bahawa di unit kecemasan, ROSIER dan FAST mempunyai ketepatan yang sama, tetapi ROSIER dinilai dalam lebih banyak kajian. Apabila digunakan oleh petugas ambulans, CPSS mengenal pasti lebih ramai orang dengan strok / TIA dalam semua kajian, tetapi juga lebih ramai orang tanpa strok / TIA diuji positif.

Kesimpulan

Bukti terkini mencadangkan bahawa CPSS harus digunakan oleh petugas ambulan di lapangan. Kajian lanjut diperlukan untuk menganggarkan perkadaran hasil yang salah dan sama ada skala alternatif, seperti MASS dan ROSIER, yang mungkin mempunyai sensitiviti yang setanding tetapi spesifisiti yang lebih tinggi, harus digunakan untuk mencapai ketepatan keseluruhan yang lebih baik. Di unit kecemasan, ROSIER dicadangkan untuk menjadi ujian pilihan. Dalam kelompok 100 orang yang mana 62 daripadanya mempunyai stroke / TIA, ujian ini akan gagal mengesan secara purata tujuh orang dengan strok / TIA (antara tiga hingga 16). Kerana sebilangan kecil kajian yang membuat penilaian ujian-ujian ini dalam keadaan tertentu, kualiti yang kurang baik, perbezaan ketara ciri-ciri kajian dan hasil kajian yang pelbagai, penemuan ini harus diberi tumpuan dengan berhati-hati dan memerlukan pengesahan selanjutnya dari kajian yang lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Malaysian Health Technology Assessment). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zuromli@yahoo.com

Tools
Information