Chlorpromazine berbanding dengan piperacetazine untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah ubat antipsikotik, chlorpromazine, lebih baik atau lebih teruk daripada ubat antipsikotik, piperacetazine, untuk merawat gejala skizofrenia?

Latar belakang

Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius yang mengganggu proses pemikiran seseorang dan menjejaskan sekitar 1% penduduk umum. Skizofrenia disenaraikan di antara 10 penyebab utama tahun kecacatan diselaraskan (DALYs) di seluruh dunia. Orang dengan skizofrenia sering mempunyai jangka hayat yang lebih rendah dan peningkatan risiko bunuh diri. Terdapat dua jenis gejala utama, positif dan negatif. Gejala-gejala positif yang biasa termasuk delusi (kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti) dan halusinasi (melihat atau mendengar perkara yang tidak nyata). Gejala negatif termasuk penarikan diri daripada sosial dan kurang motivasi dan tindak balas emosi yang tidak baik. Gejala positif biasanya bersifat jangka pendek dan gejala negatif boleh menjadi jangka panjang. Skizofrenia biasanya dirawat dengan gabungan ubat antipsikotik dan terapi psikologi. Chlorpromazine dan piperacetazine adalah ubat antipsikotik yang digunakan untuk merawat skizofrenia, namun kedua-duanya juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Ulasan ini bertujuan menilai bukti dari kajian terkawal secara rawak mengenai keberkesanan dan keselamatan kedua-dua ubat ini.

Pencarian bukti

Carian untuk kajian rawak terkawal yang mungkin berkaitan dengan ulasan ini telah dijalankan pada 6 Jun 2015, dan carian lain telah dilakukan pada 8 Oktober 2018. Ini dicapai dengan mencari Senarai Khas Cochrane Skizofrenia. Carian pada tahun 2015 mendapati enam kajian yang mungkin dan kami memeriksa dengan teliti ini untuk melihat sama ada kami boleh memasukkannya dalam kajian. Carian 2018 tidak menemui sebarang kajian baru.

Keputusan

Lima kajian, mengiringi sejumlah 343 peserta memenuhi syarat-syarat ulasan untuk dimasukkan. Kajian-kajian ini secara rawak diperuntukkan peserta untuk menerima sama ada chlorpromazine atau piperacetazine. Data dilaporkan untuk keadaan global dan mental peserta selepas rawatan, kejadian kesan buruk dan nombor yang meninggalkan kajian awal. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang data mengenai penggunaan perkhidmatan, fungsi peserta atau kos ekonomi rawatan ini. Hasil keseluruhan menunjukkan chlorpromazine dan piperacetazine mungkin mempunyai keberkesanan klinikal dan profil kesan sampingan yang sama. Walau bagaimanapun, keputusan ini berdasarkan kualiti data yang sangat rendah.

Kesimpulan

Bilangan kajian yang termasuk dan ukuran sampel peserta yang dimasukkan dalam ulasan ini adalah kecil, dan kualiti data yang sangat rendah, sehingga hasil kajian ini tidak konklusif dan harus digunakan dengan hati-hati. Kajian lanjut diperlukan sebelum membuat keputusan mengenai ubat yang lebih berkesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information