Intervensi pendidikan untuk meningkatkan amalan pemberian makanan pelengkap

Latar belakang

Makanan pelengkap adalah tempoh ketika bayi beralih dari mengambil susu ibu atau pengganti susu ibu (seperti susu formula) kepada makanan keluarga. Ia adalah masa kritikal dalam kehidupan bayi. Amalan pemberian makanan pelengkap yang tidak betul, berkait rapat dengan kesan buruk terhadap kesihatan, telah menjadi masalah kesihatan awam global yang ketara. Ini kerana amalan pemberian makanan pelengkap yang tidak sesuai, seperti pengenalan makanan separa pepejal terlalu awal (sebelum usia enam bulan), kebersihan yang rendah atau memberi makanan yang tidak mengandungi nutrien yang mencukupi, semuanya merupakan penyebab utama penyakit. Penyakit tersebut termasuk kekurangan zat makanan, cirit-birit, tumbesaran terganggu, jangkitan dan perkembangan mental kanak-kanak yang lemah. Pendidikan telah dicadangkan sebagai kaedah yang berkesan untuk menambah baik amalan pemberian makanan pelengkap.

Soalan ulasan

Adakah pendidikan menambah baik amalan pengasuh bayi dalam pemberian makanan pelengkap serta kesihatan dan pertumbuhan bayi?

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian secara rawak (satu jenis eksperimen dengan peserta dibahagikan secara rawak kepada satu atau lebih kumpulan rawatan) sehingga November 2017. Hasil carian mengenal pasti 23 kajian melibatkan 11,170 pengasuh dan anak-anak mereka. Purata umur kanak-kanak adalah dari lahir sehingga 24 bulan. Pengasuh hanya menerima intervensi pendidikan sahaja manakala kumpulan kawalan tidak mendapat intervensi, rawatan biasa atau intervensi bukan pendidikan. Kaedah pendidikan merangkumi bahan bercetak seperti risalah, kaunseling, sesi pengajaran, sokongan rakan sebaya, video dan demonstrasi praktikal. Umumnya, mesej pendidikan difokuskan kepada pengenalan makanan separa pepejal pada usia yang sesuai, jenis dan jumlah makanan pelengkap yang akan diberikan kepada bayi, dan kebersihan.

Keputusan utama

Pendidikan mengurangkan bilangan pengasuh yang memperkenalkan makanan separa pepejal kepada bayi mereka sebelum usia enam bulan hingga 12% (bukti kualiti sederhana). Amalan kebersihan pengasuh yang mendapat pendidikan juga menunjukkan peningkatan berbanding dengan pengasuh yang tidak menerima pendidikan (bukti kualiti sederhana). Dalam kajian yang dilakukan dalam komuniti, pendidikan meningkatkan jangka masa penyusuan eksklusif, tetapi tidak dalam kajian yang dilakukan di fasiliti kesihatan. Tidak ada bukti yang meyakinkan mengenai kesan pendidikan terhadap pertumbuhan anak-anak (bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah). Kami tidak dapat menggabungkan hasil dari kajian-kajian yang berlainan untuk cirit-birit, pengetahuan pengasuh dan kecukupan makanan pelengkap. Namun, dari laporan tersendiri penulis kajian, pendidikan menyebabkan pengurangan cirit-birit dan peningkatan pengetahuan pengasuh. Ini juga menyebabkan peningkatan kualiti dan kuantiti makanan pelengkap yang diberikan kepada bayi.

Secara keseluruhan, kami menemui bukti bahawa pendidikan meningkatkan amalan pemberian makanan pelengkap.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Maziah Hanum Osman (Universiti Putra Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information