Pemberian kolostrum ibu ke dalam mulut bayi pramatang untuk mencegah komplikasi dan menambahbaik hasil

Soalan ulasan

Adakah pemberian kolostrum ibu dalam jumlah yang sangat kecil ke dalam mulut bayi pramatang (melalui orofarinks (OPC)) mencegah komplikasi dan menambahbaik hasil kesihatan?

Latar belakang

Meletakkan sejumlah kecil kolostrum - titisan susu pertama yang dihasilkan oleh ibu dalam tempoh beberapa hari selepas kelahiran - secara langsung ke bahagian dalam pipi bayi pramatang mungkin membekalkan faktor imunologi dan pertumbuhan yang merangsang sistem imun dan meningkatkan perkembangan usus. Pendekatan ini berpotensi untuk mengurangkan jangkitan, termasuk jangkitan serius usus yang dinamakan sebagai enterokolitis nekrotik (NEC), lantas menambahbaik kelangsungan dan hasil jangka panjang.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang telah atau belum diterbitkan yang membandingkan pemberian kolostrum melalui orofarinks dengan kawalan seperti air, plasebo, atau tanpa sebarang pemberian oral. Kami hanya melibatkan kajian klinikal yang melaporkan hasil dalam kalangan bayi pramatang (< 37 minggu kehamilan). Bukti adalah terkini setakat Ogos 2017. Kami tidak membataskan ulasan ini kepada mana-mana wilayah atau bahasa tertentu.

Keputusan utama

Enam kajian layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini, melibatkan 335 orang bayi pramatang dengan usia kandungan dalam julat 25 hingga 32 minggu kehamilan dan berat lahir dalam julat 410 gram sehingga 2500 gram. Pengulas mengenalpasti bahawa tiada perbezaan antara OPC dan kawalan dari segi kadar NEC, jangkitan, atau kematian sebelum keluar dari hospital. Begitu juga, mereka mendapati tiada perbezaan dari segi tempoh tinggal di hospital antara bayi OPC dan kawalan. Bayi yang menerima OPC mendapat susuan penuh secara purata 2.5 hari lebih awal daripada bayi yang hanya diberi plasebo atau tiada rawatan. Walau bagaimanapun, bilangan kajian yang dimasukkan adalah kecil, data yang tidak mencukupi, dan reka bentuk yang tidak sempurna. Menggabungkan data kajian tidak dapat memberikan bukti yang cukup untuk menyokong penggunaan kolostrum untuk pemberian oral bagi mencegah komplikasi dalam kalangan bayi pramatang. Lima daripada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini melaporkan tiada bahaya (kesan buruk); walau bagaimanapun, kajian ini tidak melaporkan sebarang data perangkaan. Kajian yang disertakan dalam ulasan ini berkualiti sangat rendah; oleh itu, kesan-kesan OPC adalah masih tidak pasti.

Kesimpulan

Kajian klinikal yang lebih besar, lebih berkualiti adalah diperlukan untuk menilai secara lebih tepat dan lebih dipercayai tentang kesan OPC terhadap hasil penting untuk bayi pramatang. .

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information