Menghentikan atau mengurangkan berbanding meneruskan penggunaan perencat pam proton untuk jangka panjang dalam kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan memperjelas dapatan kajian-kajian terawal dan menilai kesan-kesan penghentian atau pengurangan dos perencat pam proton (PPP; ubat yang mengurangkan asid) dalam kalangan orang dewasa, berbanding amalan lazim (iaitu, meneruskan penggunaan PPP harian untuk jangka panjang (melebihi empat minggu). Kesan-kesan termasuklah manfaat dan mudarat (seperti penggunaan pil, kawalan simptom dan kos).

Latar belakang

PPP digunakan untuk pelbagai keadaan (seperti pedih hulu hati, refluks asid, ulser perut). Kajian-kajian mengenai kebanyakan keadaan tersebut hanya menyokong penggunaan jangka pendek (dua hingga 12 minggu), namun ubat-ubat ini sering diteruskan untuk tempoh berpanjangan ataupun tidak terbatas. Penggunaan PPP jangka panjang menyumbang kepada penyalahgunaan ubat, dan membuat orang-orang berisiko tinggi untuk mengalami kesan-kesan interaksi ubat yang tidak diingini (seperti cirit-birit, sakit kepala dan patah tulang). Ia juga menyebabkan beban kos tinggi dalam sistem penjagaan kesihatan. Penghentian preskripsi melibatkan penarikan balik ubat secara beransur-ansur dan penghentian ubat-ubat. Pendekatan yang paling lazim adalah terapi 'atas permintaan', yang membenarkan orang menggunakan ubat hanya ketika mengalami simptom (yakni ketika pedih hulu hati bermula). Matlamat keseluruhan penghentian preskripsi adalah untuk mengurangkan bilangan ubat yang diambil oleh seseorang, lantas mengurangkan penyalahgunaan ubat dan mengelakkan kesan-kesan sampingan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui enam kajian dengan 1758 peserta. Lima kajian melihat penghentian preskripsi atas permintaan, dan satu kajian menyiasat penghentian penggunaan PPP secara mendadak. Peserta-peserta berumur 48 hingga 57 tahun, kecuali dalam satu kajian (purata umur ialah 73 tahun). Kebanyakan peserta mempunyai pedih hulu hati yang sederhana dan refluks asid dengan esofagitis yang ringan (keradangan saluran makanan yang boleh mengakibatkan kerosakan) .

Keputusan utama

Kami mendapati kaedah penghentian preskripsi menyebabkan kawalan simptom lebih teruk namun mengurangkan penggunaan pil dengan ketara. Penghentian preskripsi PPP mungkin mengakibatkan kesan-kesan sampingan seperti keradangan esofagus. Data sedia ada sangat sedikit untuk membuat kesimpulan mengenai manfaat dan mudarat pengurangan PPP jangka panjang atau penghentiannya.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualti bukti sorotan ini sangat rendah ke sederhana. Kajian adalah tidak konsisten dalam kaedah melaporkan kawalan simptom. Terdapat juga limitasi pelaksanaan kajian-kajian tersebut (misalnya peserta dan pengkaji mungkin telah mengetahui terlebih dahulu jenis ubat yang bakal mereka terima). Faktor-faktor penyumbang lain termasuklah saiz sampel yang kecil bagi kebanyakan kajian dan keputusan tidak konsisten di antara kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information