Pendidikan pesakit dan penjaga untuk mencegah ulser tekanan pada populasi berisiko

Apakah matlamat kajian ini?

Kajian ini bertujuan untuk mengetahui sama ada program pendidikan yang ditujukan kepada orang yang berisiko mendapati ulser tekanan (juga dikenal sebagai ulser katil atau ulser dekubitus) dan penjaga mereka berkesan dalam pencegahan ulser tekanan. Pengulas mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian terkawal rawak) untuk menjawab soalan ini dan menjumpai 10 kajian dengan 11 penerbitan yang relevan. Kajian terkawal rawak adalah kajian perubatan bila mana rawatan atau penjagaan yang diterima oleh pesakit adalah dipilih secara rawak. Kajian jenis ini memberikan bukti perubatan yang paling dipercayai.

Mesej utama

Dalam semua kajian, tidak dapat dipastikan sama ada intervensi pendidikan memberikan perbezaan kepada kadar orang yang berisiko menghidap ulser baru, atau kepada pengetahuan pesakit atau penjaga.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulser tekanan adalah luka yang berlaku pada kulit atau tisu pendasar. Orang yang tidak dapat bergerak dan menukar kedudukan (seperti mereka yang menggunakan kerusi roda, atau dalam perawatan dan penjagaan hospital jangka panjang) paling berisiko mengalami ulser tekanan. Luka ini dapat menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan, dan kebimbangan dan mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup. Oleh itu, pencegahan ulser tekanan sangat penting. Mendidik orang tentang risiko ulser tekanan dan cara pencegahannya dianggap sebagai satu bahagian penting dalam rawatan pencegahan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Pengulas menemui 10 kajian yang relevan, dengan 11 penerbitan, (2261 peserta dianalisis) sejak tahun 2002 hingga 2018 yang membandingkan intervensi yang bertujuan untuk mendidik orang yang berisiko mengalami ulser tekanan atau penjaga mereka. Empat kajian (lima penerbitan) merangkumi orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang, terutamanya lelaki, dengan min usia kurang daripada 60 tahun. Selebihnya kajian merangkumi lelaki dan wanita dari pelbagai usia, sebahagiannya mengalami gangguan sistem saraf pusat, dan yang lain pula orang dengan risiko jenis lain yang dirawat di hospital atau di komuniti. Tujuh kajian memberi tumpuan kepada orang yang berisiko mengalami ulser tekanan; dua tertumpu kepada orang yang berisiko dan penjaga; dan satu memberi tumpuan kepada penjaga. Intervensi yang diuji bertujuan untuk mencegah ulser tekanan sama ada dengan memberikan maklumat bertulis atau dengan melibatkan mereka dalam pelbagai program pendidikan. Kajian tersebut meneliti kesan intervensi terhadap orang yang berisiko, sama ada 1) jumlah ulser tekanan baharu yang terjadi, 2) keparahan ulser tekanan yang terjadi, atau 3) pengetahuan pesakit. Tidak ada kajian yang meneliti kepuasan pesakit atau penjaga terhadap intervensi tersebut.

Dua kajian (tiga penerbitan) dibiayai oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (Amerika Syarikat). Dua kajian dibiayai oleh Institut Kebangsaan Kajian Kurnag Upaya dan Rehabilitasi (Amerika Syarikat). Satu kajian dibiayai oleh Jabatan Program Penyelidikan Polisi Kesihatan Jabatan Kesihatan (UK); satu kajian oleh Institut Pasca Siswazah Pendidikan dan Penyelidikan Perubatan (Chandigarh, India); satu kajian oleh Majlis Penyelidikan Perubatan India (New Delhi, India); dan satu kajian oleh Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan (Australia). Dua kajian tidak menyatakan sumber tajaan.

Hasil kajian tidak memberikan ruang pengulas membuat kesimpulan yang tegas mengenai keberkesanan intervensi pendidikan dalam pencegahan ulser tekanan atau dalam meningkatkan pengetahuan pesakit mengenai pencegahan ulser tekanan. Kualiti bukti kajian-kajian ini adalah rendah hingga amat rendah.

Seberapa kini ulasan ini?

Pengulas mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Jun 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information