Soalan ulasan
Apakah kesan perubahan diet dengan menyekat pengambilan garam, kafein dan alkohol masing-masing atau dengan satu sama lain, terhadap simptom pesakit dengan penyakit Ménière?
Latar belakang
Lebih kurang 200 daripada setiap 100,000 orang mengalami penyakit Ménière. Keadaan ini dikenali sebagai penyakit Ménière jika tiada penyebab boleh dikenal pasti dan sindrom Ménière jika diketahui penyebabnya. Para pesakit dengan penyakit ini mengalami vertigo (episod pening), hilang pendengaran, sensasi tekanan di dalam telinga dan tinitus (deringan atau dengungan di dalam telinga).
Buat masa ini, tiada rawatan standard untuk penyakit Ménière dan opsyen boleh adalah perubahan diet, ubatan dan pembedahan untuk sesetengah kes. Penyakit Ménière difahami akibat gangguan isipadu atau komposisi cecair di telinga dalaman (digelar endolymph). Pengambilan garam boleh menjejaskan kepekatan elektrolit (garam dan mineral yang boleh mengalirkan impuls elektrik di dalam badan) dalam darah, yang seterusnya mempengaruhi komposisi endolimfa. Pengambilan garam oleh itu mungkin menyumbang kepada serangan jadi sekatan pemakanan boleh digunakan untuk mengawal isipadu dan komposisi endolimfa. Pengambilan kafein dan alkohol boleh menyempitkan salur darah (vasokonstriksi) dan boleh menyebabkan kekurangan bekalan darah ke telinga dalaman, yang boleh memburukkan simptom pesakit. Ramai doktor menasihatkan perubahan diet sebagai rawatan utama sebab ia dianggap opsyen yang mudah dan tidak mahal. Kami ingin tahu sama ada perubahan diet berkesan untuk memastikan pesakit menerima nasihat yang betul tentang opsyen rawatan, dan untuk memastikan rawatan yang lebih sesuai tidak tertangguh dengan menghabiskan masa dengan intervensi yang tidak efektif, dan menyebabkan simptom yang tidak menyenangkan dan progresi penyakit.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian berkualiti tinggi (kajian rawak terkawal) perubahan diet (sekatan atau penggantian garam, kafein dan alkohol, atau kedua-duanya) berbanding tiada sekatan dalam kalangan pesakit dewasa dengan penyakit atau sindrom Ménière. Carian kami adalah terkini sehingga Mac 2018.
Keputusan utama
Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian rawak terkawal yang memenuhi criteria inklusi untuk ulasan ini.
Kualiti bukti dan kesimpulan
Tiada bukti daripada kajian rawak terkawal tentang sekatan pengambilan garam, kafein atau alkohol dalam kalangan pesakit dengan penyakit atau sindrom Ménière. Penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang ini perlu jika soalan ini ingin dijawab, dalam bentuk kajian yang menggunakan kaedah lebih rapi (contohnya, perambangan dan pembutaan, atau penggunaan teliti daftar pesakit) dan merekrut dengan teliti hanya pesakit yang memenuhi kriteria diagnostik penyakit Ménière. Adalah penting untuk menangani persoalan tentang sebarang mudarat atau kesan yang tidak diingini akibat perubahan diet.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.