Rawatan untuk menambahbaik hasil kehamilan bagi wanita yang menghidap diabetes ketika kehamilan: gambaran keseluruhan tinjauan sistematik Cochrane

Apakah isunya?

Tujuan gambaran keseluruhan Cochrane ini ialah untuk menyediakan ringkasan kesan intervensi bagi wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung (diabetes gestasi, GDM) dan kesan ke atas kesihatan wanita dan kesihatan bayi mereka. Kami telah menilai semua ulasan Cochrane yang berkaitan (tarikh carian terakhir: Januari 2018)

Mengapa ini penting?

GDM boleh terjadi dalam pertengahan-hingga-akhir kehamilan. Tahap glukosa darah yang tinggi (hiperglisemia) mungkin mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan kedua-duanya wanita dan bayi pada jangkamasa pendek dan panjang.

Bagi wanita, GDM boleh bermakna peningkatan risiko mendapat tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing (praeklampsia). Wanita dengan GDM juga berpeluang lebih tinggi mendapat diabetes jenis 2, penyakit jantung, dan strok di kemudian hari. Bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu dengan GDM berisiko lebih tinggi menjadi besar, mempunyai glukosa darah yang rendah (hipoglisemia) selepas kelahiran, dan kuning kulit dan mata (jaundis). Apabila bayi menjadi kanak-kanak, mereka berisiko lebih tinggi mendapat lebihan berat badan dan diabetes jenis 2.

Beberapa Ulasan Cochrane telah menilai intervensi yang berbeza untuk wanita dengan GDM. Gambaran keseluruhan ini mengumpulkan kajian-kajian tersebut. Kami melihat diet, senaman, ubat-ubatan, suplemen, perubahan gaya hidup dan cara GDM diuruskan atau respon kepada pasukan penjagaan kesihatan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menjumpai 14 ulasan sistematik Cochrane dan memasukkan 10 ulasan yang meliputi 128 kajian dalam analisis kami, yang melibatkan sejumlah 17,984 wanita dan bayi mereka. Kualiti bukti adalah pelbagai dari sangat rendah hingga tinggi.

Kami lihat kepada:

Intervensi pemakanan / diet (termasuk penukaran kepada diet berindeks glisemia (GI) rendah atau sederhana, sekatan kalori, diet rendah karbohidrat, diet tinggi karbohidrat kompleks, diet tinggi lemak tepu, diet tinggi serat, diet diperkaya protein soya, dan lain-lain.)

Kami mendapati data tidak mencukupi bagi membolehkan mana-mana satu intervensi pemakanan / diet dikatakan sama ada ia telah membantu atau tidak.

Program-program senaman (termasuk berjalan pantas, berbasikal, latihan rintangan jenis litar, arahan ke atas gaya hidup aktif, program senaman berasaskan rumah, program senaman 6 minggu atau 10 minggu, yoga, dll.)

Begitu juga, tidak cukup data bagi mana-mana regimen senaman khusus bagi mengatakan samada ianya dapat membantu atau tidak.

Pengambilan insulin atau ubatan lain untuk mengawal diabetes (termasuk insulin dan ubat-ubat oral yang menurunkan glukosa).

Insulin mungkin meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan masalahnya semasa hamil (gangguan hipertensi kehamilan) bila dibandingkan dengan terapi oral (bukti berkualiti sederhana).

Suplemen-suplemen (myo-inositol diberi sebagai serbuk terlarut dalam air atau kapsul).

Kami menemui data yang tidak mencukupi untuk boleh mengatakan samada myo-inositol telah membantu ataupun tidak.

Perubahan gaya hidup yang menggabungkan dua atau lebih intervensi seperti: pemakanan sihat, senaman, pendidikan, kesedaran makan (tumpuan fikiran ke atas aktiviti makan), yoga, relaksasi, dan lain-lain.

Intervensi gaya hidup mungkin berkait dengan pengurangan bayi dilahirkan besar (bukti berkualiti sederhana) tetapi mungkin menyebabkan peningkatan induksi untuk bersalin (bukti berkualiti sederhana).

Strategi-strategi pengurusan (termasuk kelahiran awal, cara-cara pemantauan glukosa darah).

Kami menemui data yang sedikit untuk strategi-strategi termasuk induksi bersalin yang dirancang atau kelahiran yang dirancang melalui pembedahan caesarean, dan tiada perbezaan yang jelas dalam hasil antara kesemua rancangan-rancangan rawatan ini. Begitu juga, kami tidak menemui perbezaan yang jelas antara hasil bagi kaedah pemantauan glukosa darah yang berbeza.

Apakah maksudnya?

Data ke atas intervensi yang pelbagai adalah terhad. Perubahan gaya hidup (termasuk pemakanan sihat yang minima, aktiviti fizikal, dan pemantauan sendiri tahap gula dalam darah) merupakan satu-satunya intervensi yang menunjukkan kemungkinan peningkatan kesihatan bagi wanita dan bayi mereka. Intervensi gaya hidup mungkin menyebabkan pengurangan bayi bersaiz besar. Sebaliknya, dari segi kemudaratan, intervensi gaya hidup mungkin boleh meningkatkan bilangan induksi. Pengambilan insulin turut dikaitkan dengan peningkatan penyakit darah tinggi, jika dibandingkan dengan terapi oral. Terdapat maklumat yang sangat terhad terhadap kesihatan jangka panjang dan kos perkhidmatan kesihatan. Wanita mungkin ingin berbincang perubahan gaya hidup mengikut keperluan individu masing-masing dengan pakar perubatan mereka. Penyelidikan berkualiti tinggi selanjutnya diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information