Latar belakang
Sirosis adalah satu penyakit hati yang kronik. Pesakit sirosis boleh menghidap ensefalopati kepatik, satu keadaan yang menyebabkan kefungsian otak yang lemah. Sesetengah pesakit dengan ensefalopati hepatik menunjukkan bukti jelas disfungsi otak dan dikatakan untuk mengalami ensefalopati hepatik yang ‘terang-terangan’. Mereka mungkin mempunyai daya ingatan yang lemah, kesukaran dalam penumpuan perhatian, masalah pertuturan, getaran, terutamanya dalam tangan mereka, atau kekakuan anggota badan mereka. Perubahan ini mungkin berlaku secara berkala atau mungkin berterusan. Pesakit lain dengan sirosis mungkin tidak akan menunjukkan sebarang tanda-tanda disfungsi otak yang jelas, tetapi sesetengah aspek fungsi otak mereka, seperti perhatian dan kemampuan untuk melakukan tugas kompleks adalah didapati terjejas apabila diuji. Mereka dikatakan mempunyai ensefalopati hepatik yang ‘minimum’. Alasan mengapa orang menghidapi ensefalopati adalah kompleks, tetapi pengumpulan toksin dari usus dalam darah, terutamanya sejenis sebatian yang dipanggil ammonia, memainkan peranan yang penting. Ubat-ubatan tertentu telah dihasilkan secara khusus untuk mengurangkan tahap amonia dalam darah dan mungkin boleh membantu mencegah pesakit daripada mengalami ensefalopati hepatik dan mempunyai kesan-kesan baik dalam mereka yang sedang menderita daripada gangguan ini. Tetapi, bukti bahawa mereka bermanfaat adalah tidak jelas. Lima ubat (farmakoterapi) yang dipertimbangkan dalam ulasan ini adalah natrium benzoat, gliserol phenylbutyrate, ornithine phenylacetate, AST-120 (penjerap karbon sfera), dan polietilena glikol.
Soalan ulasan
Kami telah menyiasat penggunaan lima farmakoterapi yang secara khususnya mensasarkan amonia untuk pencegahan dan rawatan ensefalopati hepatik dalam pesakit sirosis. Kami melaksanakan ini dengan mengulas percubaan klinikal di mana pesakit sirosis telah diperuntukkan secara rawak kepada rawatan dengan salah satu ubat-ubatan ini atau kepada suatu dummy yang tidak aktif (plasebo), kepada tiada rawatan atau kepada ubat-ubatan lain yang juga digunakan untuk merawat keadaan ini, seperti laktulosa dan laktitol (ini adalah disakarida yang tidak boleh diserap). Kami telah menyertakan pesakit sirosis yang mempunyai ensefalopati hepatik yang minimum atau ketara dan orang yang berisiko untuk menghidapi komplikasi ini.
Tarikh carian
5 Mac 2019
Sumber dana kajian
Dua daripada 11 percubaan klinikal rawak yang telah kami sertakan dalam ulasan ini telah menerima sokongan daripada syarikat farmaseutikal. Dua kajian tidak memberikan maklumat mengenai potensi sokongan kewangan atau pautan ke syarikat farmaseutikal. Empat percubaan tidak mendapat dana atau sokongan lain dari sumber ini.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mengenal pasti 11 percubaan klinikal rawak yang membandingkan ubat-ubatan yang secara khususnya mensasarkan amonia dengan plasebo tidak aktif atau disakarida yang tidak boleh diserap; dua kajian telah menilai pencegahan ensefalopati hepatik manakala sembilan kajian telah menilai rawatan ensefalopati hepatik. Kajian-kajian tersebut telah menilai natrium benzoat (tiga kajian), gliserol phenylbutyrate (satu kajian), ornithine phenylacetate (dua kajian), AST-120 (dua kajian) dan polietilena glikol (tiga kajian). Peserta telah dirawat untuk tempoh yang berbeza antara lima hari hingga 16 minggu.
Keputusan utama
Natrium benzoat, gliserol phenylbutyrate, ornithine phenylacetate, dan AST-120 mengurangkan tahap amonia dalam darah apabila dibandingkan dengan plasebo, tetapi tiada ubat-ubatan yang mengurangkan tahap amonia dalam darah apabila dibandingkan dengan disakarida yang tidak boleh diserap. Phenylbutyrate gliserol nampaknya mempunyai kesan yang baik terhadap ensefalopati hepatik jika dibandingkan dengan plasebo, seperti halnya polietilena glikol jika dibandingkan dengan laktulosa. Tiada ubat-ubatan yang nampaknya mempengaruhi risiko kematian dan tidak mempunyai kesan-kesan sampingan.
Kualiti bukti
Bukti yang kami temui adalah sangat tidak pasti, dan oleh itu kami tidak yakin bahawa ubat-ubatan ini berguna untuk mencegah atau merawat ensefalopati hepatik dalam pesakit sirosis. Terdapat sangat sedikit kajian yang sedia ada, dan bukan semua yang memberikan data yang mencukupi untuk kami sertakan dalam analisis. Tambahan pula, banyak kajian yang telah diterbitkan menerima sokongan daripada industri farmaseutikal yang memperkenalkan unsur bias. Oleh itu, kami memerlukan lebih maklumat untuk mendapat idea yang lebih baik sama ada ubat-ubatan ini adalah berguna dan selamat untuk digunakan dalam konteks ini.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my