Suntikan intramuskular kortikosteroid berbanding oral untuk asma akut

Soalan ulasan

Kami mengkaji keberkesanan suntikan kortikosteroid berbanding kortikosteroid diambil melalui mulut untuk menambahbaik hasil dalam kalangan pesakit yang mengunjungi jabatan kecemasan atau ke tempat rawatan seumpamanya dengan asma akut.

Latar belakang

Serangan asma berpunca dari saluran udara ke paru-paru menjadi sempit akibat keradangan, menyebabkan pernafasan berbunyi seperti tersepit, batuk dan kesukaran bernafas. Orang yang mengalami serangan asma biasanya pergi ke jabatan kecemasan. Kortikosteroid, yang merupakan agen anti-radang yang kuat, adalah rawatan asas eksaserbasi asma, dan telah menunjukkan keberkesanan dalam menambahbaik fungsi paru-paru dan mengurangkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit asma. Semasa discaj, pesakit biasanya dibekalkan kortikosteroid untuk mengurangkan kebarangkalian ulangan kembali ke jabatan kecemasan akibat simtom asma yang semakin teruk. Kortikosteroid boleh diberikan melalui satu suntikan di bawah kulit ke dalam otot ('intramuskular') atau sebagai tablet untuk dibawa pulang, dan pada masa ini ianya tidak jelas pemberian kortikosteroid yang mana lebih berkesan dalam menambahbaik hasil untuk pesakit selepas discaj daripada jabatan kecemasan.

Tarikh carian

Kami telah menjalankan pencarian terkini pada Mac 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami masukkan sembilan kajian yang membandingkan keberkesanan suntikan intramuskular berbanding tablet kortikosteroid dalam pesakit-pesakit yang mengunjungi ED atau tempat perawatan seumpamanya dengan asma akut. Kajian telah melibatkan seramai 804 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa. Kebanyakan kajian menyiasat suntikan kortikosteroid dexamethasone atau methylprednisolone berbanding tablet kortikosteroid prednisone atau methylprednisolone.

Punca pembiayaan kajian

Kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan (5 kajian). Dua kajian menerima pembiayaan daripada geran penyelidikan kesihatan umum. Satu kajian dibiayai oleh sebuah syarikat farmaseutikal (Pfizer); bagaimanapun, dilaporkan syarikat ini tidak terlibat dalam mana-mana aspek penyediaan kajian atau manuskrip. Satu kajian yang dilaporkan tidak dibiaya.

Keputusan utama

Suntikan intramuskular kortikosteroid kelihatan mempunyai keberkesanan yang sama dengan tablet kortikosteroid dalam mencegah ulangan serangan. Kami tidak menemui apa-apa perbezaan dalam risiko ulangan antara peserta yang menerima suntikan intramuskular dan tablet kortikosteroid. Walaupun tidak semua kajian melaporkan kesan sampingan yang tidak diingini dalam kumpulan kajian mereka, kami mendapati tiada perbezaan di antara peserta yang menerima suntikan intramuskular dan tablet kortikosteroid. Dalam sesi susulan, kami mendapati tiada perbezaan dalam ujian fungsi pulmonari antara peserta yang telah menerima suntikan intramuskular atau tablet corticosteroid. Dalam kajian yang melaporkan skor simtom dan tempoh, kami tidak kenalpasti apa-apa perbezaan antara peserta yang menerima kortikosteroid melalui suntikan atau tablet.

Kualiti bukti

Kualiti bukti mengenai keberkesanan suntikan intramuskular kortikosteroid dalam menambahbaik aspek hasil kesihatan adalah sekitar dari rendah ke sederhana. Kami hanya mempunyai kepercayaan yang sederhana kesan anggaran steroid intramuskular ke atas kemasukan ke hospital, peningkatan dalam fungsi pernafasan / respiratori dan ulangan kerana risiko serong dalam kalangan kajian yang dimasukkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information