Intervensi pendidikan untuk profesional kesihatan yang menguruskan orang dengan COPD di penjagaan primer

Latar belakang:

Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) adalah penyakit paru-paru yang biasa, boleh dicegah dan dirawat. COPD menjadikannya lebih sukar bagi seseorang untuk membolehkan udara masuk dan keluar daripada paru-paru. Gejala-gejalanya termasuklah sesak nafas, batuk, serta lebihan kahak dan bunyi berdehit. COPD boleh menyebabkan kesan yang besar kepada kehidupan seseorang dan menjurus kepada kemorosotan kesihatan.

Soalan:

Apakah bukti yang wujud untuk intervensi pendidikan yang disampaikan kepada profesional kesihatan yang menguruskan COPD di penjagaan primer?

Strategi carian:

Bagi mencari kajian yang relevan, pengulas mencari enam pangkalan data dalam talian, daftar kajian, dan senarai rujukan bagi kajian yang disertakan, mengambil kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2021.

Kriteria pemilihan:

Pengulas menyertakan kajian terkawal rawak (RCT) atau kajian dengan reka bentuk yang sama membandingkan sekumpulan profesional kesihatan atau pesakit (atau kedua-duanya) menerima intervensi dengan sekumpulan menerima penjagaan biasa (tiada intervensi) atau menerima intervensi yang berbeza. Pengulas menyertakan kajian yang mengkaji intervensi pendidikan yang ditujukan kepada sebarang profesional kesihatan yang terlibat dalam pengurusan COPD di penjagaan primer.

Keputusan utama:

Pengulas mengenal pasti 38 kajian, 36 daripadanya menguji intervensi berbanding penjagaan biasa, dan tujuh daripadanya membandingkan dua atau lebih jenis intervensi yang berbeza. Pelbagai intervensi mudah hingga kompleks telah digunakan di seluruh kajian, termasuk pendidikan yang diberikan kepada profesional kesihatan melalui sesi, bengkel atau modul dalam talian (31 kajian), penyediaan alat sokongan amalan atau kit alat (10 kajian), penyediaan garis panduan amalan klinikal COPD (sembilan kajian) dan latihan mengenai ujian fungsi paru-paru (lima kajian).

Kajian yang pengulas kenal pasti adalah sangat berbeza dalam istilah penerima intervensi, jenis intervensi ynag diterima, tempat intervensi dijalankan, dan cara serta masa hasil akan diukur. Disebabkan oleh perbezaan dan masalah dengan cara kajian dijalankan, pengulas menganggap keseluruhan bukti menjadi rendah atau sangat rendah.

Berdasarkan bukti semasa, pengulas tidak dapat menentukan kesan intervensi pendidikan untuk profesional kesihatan ke atas perkadaran diagnosis COPD yang disahkan dengan ujian fungsi paru-paru, perkadaran pesakit COPD yang mengambil bahagian dalam pemulihan paru-paru (pendidikan dan latihan khusus untuk meningkatkan pernafasan) dan perkadaran pesakit dengan COPD yang diberi ubat untuk paru-paru/pernafasan mereka yang konsisten dengan garis panduan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, bukti yang ada menunjukkan bahawa intervensi pendidikan untuk profesional kesihatan mungkin meningkatkan kadar vaksinasi influenza (selesema) dalam kalangan pesakit COPD dan kepuasan pesakit dengan penjagaan.

Rumusan pengarang:

Perkara ini tidak jelas sama ada intervensi pendidikan meningkatkan pengurusan COPD dalam penjagaan primer, termasuk diagnosis COPD yang disahkan dengan ujian fungsi paru-paru, penyertaan dalam pemulihan paru-paru dan preskripsi ubat pernafasan yang disyorkan garis panduan. Walau bagaimanapun, intervensi pendidikan untuk profesional kesihatan boleh meningkatkan kadar vaksinasi influenza dan kepuasan pesakit dengan penjagaan. Intervensi dan hasil sangat berbeza antara kajian, dan terdapat masalah tentang cara kajian-kajian tersebut dijalankan yang mungkin mempengaruhi keputusan mereka. Kajian berkualiti tinggi selanjutnya adalah perlu untuk menentukan keberkesanan intervensi pendidikan untuk profesional kesihatan yang menguruskan COPD di penjagaan primer.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information