Seberapa tepatnya ultrabunyi frekuensi tinggi untuk mendiagnosis kanser kulit di kalangan orang dewasa?

Mengapanya peningkatan diagnosis kanser kulit penting?

Terdapat beberapa jenis kanser kulit. Melanoma (tahi lalat) adalah salah satu bentuk yang paling berbahaya, jadi adalah penting untuk mengesannya awal dan membuangnya secepat mungkin. Kegagalan untuk mengenalpasti melanoma (dikenali sebagai keputusan ujian negatif palsu) boleh melambatkan rawatan, meningkatkan risiko penyebaran melanoma kepada organ lain dalam badan dan kemungkinan kematian awal. Kanser kulit lain, seperti kanser sel skuamosa kutaneus dan karsinoma sel basal lebih memusatkan pada satu tempat. Walau bagaimanapun, kanser sel skuamosa boleh merebak ke bahagian lain badan, dan karsinoma sel basal boleh menyebabkan kecacatan jika dibiarkan tanpa rawatan. Mendiagnosis lesi yang tidak berbahaya (tahi lalat atau kulit yang mempunyai penampilan luar biasa berbanding dengan kulit di sekelilingnya) sebagai kanser kulit (keputusan positif palsu) boleh menyebabkan pembedahan yang tidak diperlukan dan ujian lain yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada pesakit. Kanser kulit yang disilapkan sebagai lesi lain boleh membawa rawatan yang salah atau kelewatan untuk mendapati rawatan yang berkesan. Oleh itu, diagnosis yang betul adalah penting.

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada ultrabunyi frekuensi tinggi boleh membantu doktor mendiagnosis kanser kulit. Kami mendapati enam kajian untuk cuba menjawab soalan ini. Lima kajian menyiasat diagnosis melanoma dan tiga, kanser sel basal.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Beberapa alat membolehkan pakar kanser kulit untuk memeriksa kulit dengan lebih terperinci daripada memeriksa dengan mata kasar sahaja. Kebanyakan pakar kanser kulit menggunakan dermatoskopi, alat yang membesarkan lesi kulit dengan menggunakan cahaya semula jadi. Ultrabunyi adalah satu lagi teknik bukan invasif yang mengukur pantulan gelombang bunyi dari tisu badan. Ultrasbunyi frekuensi tinggi boleh menghasilkan imej yang lebih baik yang boleh menunjukkan struktur berdekatan dengan permukaan kulit. Apabila digunakan bersama-sama dengan pemeriksaan doktor dan dermoskopi, ultrabunyi frekuensi tinggi boleh membantu doktor membuat diagnosis yang lebih tepat.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini termasuk enam kajian: lima dengan 1125 lesi kulit yang disyaki melanoma, dan tiga dengan 993 lesi yang disyaki sebagai karsinoma sel basal. Kami tidak menjumpai sebarang kajian mengenai diagnosis karsinoma sel skuamosa.

Kajian yang terlibat adalah kecil dan terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan anggaran ketepatan yang boleh dipercayai untuk mengenalpasti melanoma atau karsinoma sel basal. Setengah daripada kajian tidak direka untuk mengetahui ketepatan ujian dan semua boleh dianggapkan sebagai eksperimen awal tentang nilai potensi ultrasound frekuensi tinggi. Nilai utama kajian mungkin adalah dalam membantu penyelidik mengenalpasti cara terbaik untuk menafsirkan ultrabunyi frekuensi tinggi untuk diagnosis melanoma atau karsinoma sel basal untuk penilaian dalam kajian penyelidikan masa depan.

Betapa boleh dipercayai hasil kajiannya?

Keputusan kajian tidak beberapa boleh dipercayai apabila dianggap secara kolektif. Jumlah kecil dan kebolehubahan antara kajian mengurangkan kebolehpercayaan kajian, sementara semua kajian mempunyai batasan penting. Secara khususnya, mereka yang mengambil bahagian dalam kajian dan cara di mana ujian digunakan mungkin tidak mencerminkan situasi kehidupan sebenar. Dalam semua kajian diagnosis akhir telah disahkan oleh biopsi. Ini mungkin kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit memang mempunyai kanser kulit.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?

Semua kajian dijalankan di Eropah, dan hanya satu melaporkan umur purata peserta (55.3 tahun). Peratusan orang dengan diagnosis akhir melanoma adalah antara 14% hingga 58%, sementara 8% hingga 49% mempunyai karsinoma sel basal. Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada doktor mengesyaki kanser kulit berdasarkan pemeriksaan klinikal sahaja atau kedua-dua pemeriksaan klinikal dan dermoskopik.

Apakah implikasi ulasan ini?

Pada masa ini, tidak cukup penyelidikan yang baik untuk menarik kesimpulan tentang penggunaan ultrasound frekuensi tinggi untuk mendiagnosis kanser kulit. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa ultrasound frekuensi tinggi mempunyai potensi untuk mengenalpasti melanoma atau karsinoma sel basal daripada beberapa jenis lesi yang tidak berbahaya, namun adalah tidak jelas sama ada ia boleh membezakan kanser kulit ini daripada berbagai-bagai keadaan kulit yang ditunjukkan oleh pesakit kepada doktor mereka dalam praktis seharian doktor. Terdapatnya keperluan untuk lebih banyak kajian yang menyiasat ultrabunyi frekuensi tinggi bersama-sama dermoskopi atau teknik mikroskopik lain (seperti mikroskopi penglihatan reflektif) antara orang yang mempunyai lesi kulit yang mencurigakan.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis kajian menyelidik dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian ini, biopsi adalah standard rujukan (cara untuk menentukan diagnosis terakhir).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tessa Lim Li Chyin (Monash University Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information