Terapi pengaktifan tingkah laku untuk kemurungan dalam kalangan dewasa dengan masalah fizikal jangka panjang

Kemurungan sering berlaku dalam kalangan dewasa yang menghidap masalah fizikal jangka panjang. Penyakit fizikal jangka panjang, seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser atau masalah pernafasan kronik, boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental. Masalah kesihatan mental turut mempengaruhi bagaimana seseorang mengatasi masalah fizikal. Pengaktifan tingkah laku adalah sejenis terapi bicara yang digunakan bagi merawat kemurungan dalam kalangan dewasa dan ia boleh menjadi satu alternatif kepada terapi psikologi atau ubatan yang lain. Ulasan ini menilai kesan-kesan pengaktifan tingkah laku ke atas kemurungan untuk orang dengan masalah kesihatan jangka panjang.

Kami memasukkan kajian terkawal secara rawak (RCT) pengaktifan tingkah laku dengan orang dewasa yang didiagnosis dengan kemurungan dan penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser, atau masalah pernafasan kronik. RCT adalah kajian dengan satu kumpulan kawalan, di mana peserta diperuntukkan kepada kumpulan rawatan dan kawalan secara rawak. Kami mencari pelbagai pangkalan data dalam talian, termasuk pangkalan data serantau dan daftar kajian. Pencarian, yang dijalankan pada 4 Oktober 2019, telah mengenalpasti 6066 rekod. Setelah menyaring rekod, kami menyertakan dua kajian dalam ulasan ini dan 181 peserta menyumbang data untuk analisis.

Kedua-dua kajian merekrut peserta dari hospital di Amerika Syarikat. Satu kajian melibatkan peserta yang pulih dari strok manakala kajian lain melibatkan wanita dengan kanser payudara. Dalam kedua-dua kajian, peserta menerima pengaktifan tingkah laku yang disampaikan dalam lapan sesi setiap minggu, secara bersemuka. Satu kajian membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan rawatan biasa selepas strok, manakala satu lagi kajian membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan terapi penyelesaian masalah, iaitu terapi bercakap.

Bukti berkepastian rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa terapi pengaktifan tingkah laku mungkin lebih berkesan dalam merawat kemurungan berbanding pembanding yang disertakan, tetapi anggaran ini tidak tepat dan kesannya berkurangan dalam jangka masa panjang. Tidak ada bukti menunjukkan sebarang perbezaan antara kumpulan-kumpulan dalam bilangan orang yang menarik diri dari kajian, gejala kemurungan, kualiti hidup, fungsi fizikal, atau gejala kerisauan. Kajian tersebut tidak melaporkan kesan-kesan sampingan sepanjang tempoh ia dijalankan.

Terdapat beberapa batasan dalam kajian yang disertakan. Dalam kedua-dua kajian, para peserta tahu tentang rawatan yang mereka terima. Para penyelidik juga terlibat dalam merangka intervensi dalam kedua-dua kajian, dan mungkin, juga, telah cenderung terhadap hasil baik menggunakan pengaktifan tingkah laku. Dalam satu kajian, kehilangan data yang disebabkan oleh peserta yang menarik diri dari kajian mungkin turut mempengaruhi keputusan kajian.

Kami tidak menemui cukup bukti dalam ulasan ini untuk mengetahui sama ada pengaktifan tingkah laku harus digunakan untuk merawat kemurungan dalam kalangan dewasa yang menghidapi masalah fizikal jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Amira Sariyathul Rusly (SEADPRI-UKM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information