Apakah tujuan ulasan ini?
Penggunaan kelambu yang dirawat dengan racun serangga (ITN) adalah intervensi utama dalam pengawalan malaria. Ulasan Cochrane terdahulu menunjukkan bahawa ia sangat berkesan dalam mengurangkan kematian dan penyakit disebabkan oleh malaria. Sejak ulasan tersebut diterbitkan, banyak kawasan yang dipengaruhi oleh malaria telah melaporkan populasi nyamuk yang resistan kepada racun serangga yang digunakan dalam ITN. Tujuan kemaskini ulasan ini adalah untuk menilai bukti-bukti sedia ada dan mengenalpasti sama ada ITN akan terus berkesan dalam mengawal penyakit ini. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang relevan dan menilai kualiti keseluruhan kepastian bukti.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Ulasan ini mengemaskini ringkasan kajian-kajian yang diterbitkan sejak ulasan terdahulu yang menilai impak ITN terhadap kematian dan penyakit berkaitan malaria, dan membandingkannya dengan tiada kelambu dan kelambu yang tidak dirawat. Setelah mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 18 April 2018, kami mengenalpasti tiga kajian rawak terkawal baharu (kajian di mana peserta diletakkan dalam kumpulan yang menerima intervensi dengan kaedah rawak). Secara keseluruhan, kami menyertakan 23 kajian, melibatkan lebih daripada 275,000 orang dewasa dan kanak-kanak, untuk menilai keberkesanan ITN dalam mengurangkan beban malaria. Kajian yang disertakan menyediakan bukti impak ITN terhadap jangkitan dua jenis parasit malaria, Plasmodium falciparum dan Plasmodium vivax.
Apakah keputusan utama ulasan?
Dua belas kajian (sembilan di Africa, satu di Kemboja, satu di Myanmar dan satu di Pakistan) telah menilai impak ITN berbanding tiada kelambu. Daripada kajian-kajian tersebut, kami menyimpulkan ITN mengurangkan kadar kematian kanak-kanak daripada pelbagai sebab, bersamaan dengan menyelamatkan 5.6 nyawa setiap tahun bagi setiap 1000 kanak-kanak yang dilindungi oleh ITN (kualiti bukti tinggi) ITN juga mengurangkan bilangan kes P falciparumsetiap seorang setiap tahun dan perkadaran orang yang dijangkiti parasit P falciparum (bukti kepastian tinggi) ITN mungkin mengurangkan bilangan kes P vivax bagi setiap seorang setiap tahun dan mungkin mengurangkan kadar orang yang dijangkiti parasit P vivax (bukti kepastian sederhana)
Sebelas kajian (tiga di Sub-sahara Afrika, enam di Amerika Latin, dan dua di Thailand) menilai keberkesanan ITN berbanding tiada kelambu yang tidak dirawat. Daripada kajian-kajian tersebut, kami menyimpulkan bahawa ITN mengurangkan kadar kematian kanak-kanak dari semua sebab, korespon dengan menyelamatkan 3.5 nyawa setiap tahun untuk setiap 1000 kanak-kanak yang dilindungi oleh ITN (bukti berkualiti sederhana) ITN juga mengurangkan bilangan kes P falciparum bagi setiap seorang setiap tahun (bukti kepastian tinggi) dan mungkin mengurangkan perkadaran orang yang dijangkiti parasit P falciparum (bukti kepastian sederhana) Sementara ITN mungkin mengurangkan bilangan kes P vivax setiap seorang setiap tahun (bukti kepastian rendah), adalah tidak begitu jelas jika jumlah orang yang dijangkiti parasit P vivax lebih rendah dalam kalangan mereka yang menggunakan ITN berbanding mereka yang menggunakan kelambu yang tidak dirawat (bukti berkualiti sangat rendah)
Dalam mentafsir keputusan ini, kami mempertimbangkan bahawa terdapat pertambahan populasi nyamuk yang mampu hidup walaupun terdedah kepada racun serangga yang digunakan dalam ITN. Walau bagaimanapun, pada masa kini masih belum jelas kepentingannya secara kuantitatif, dan ini dilihat tidak cukup untuk meremehkan bukti sedia ada keberkesanan ITN dalam mencegah kematian dan penyakit berkaitan malaria.
Mesej utama
ITN, jika dibandingkan dengan tiada kelambu atau kelambu yang tidak dirawat dengan racun serangga, akan terus berkesan dalam mengurangkan kadar kematian kanak-kanak dan penyakit berkaitan malaria di kawasan-kawasan yang terjejas.
Diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nadiah@ms.pmc.edu.my