Latar belakang
Pendarahan haid berlebihan (HMB) merupakan pendarahan haid (tempoh) yang mengganggu kualiti hidup wanita, sama ada dari segi fizikal, emosi, sosial atau kebendaan, ia tidak bergantung dengan jumlah sebenar kehilangan darah. Kebanyakkan wanita yang mengalami HMB tidak mempunyai apa-apa punca fizikal yang berkaitan, seperti fibroid, maka, mendapatkan bantuan yang tidak melibatkan pembedahan adalah satu alternatif yang bagus. Progestogen kitaran adalah tablet hormon yang boleh diambil melalui mulut sama ada untuk 10 hari atau 3 hingga 4 minggu sebulan bagi rawatan HMB (kitaran pendek atau panjang progestogen).
Ciri-ciri kajian
Ulasan kajian ini mengenal pasti 15 percubaan klinikal terkawal rawak (kajian klinikal di mana pesakit dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan jumlah seramai 1071 wanita dibandingkan progestogens oral dengan rawatan perubatan lain untuk HMB (lain-lain rawatan oral, peranti dalam rahim dan cincin faraj). Hasil utama kajian ini adalah kehilangan darah haid dan kepuasan dengan rawatan; hasil sekunder adalah bilangan hari pendarahan, kualiti hidup, mematuhi dan penerimaan rawatan, kesan sampingan dan kos. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.
Keputusan-keputusan utama
Ulasan kajian-kajian klinikal percubaan mendapati bahawa progestogen tablet hormon yang diambil melalui mulut selama 10 hari sebulan (jangka pendek) kurang berkesan untuk mengurangkan kehilangan darah haid jika dibandingkan dengan rawatan perubatan yang lain. Kami tidak pasti sama ada rawatan ini meningkatkan kepuasan atau kualiti hidup wanita dengan HMB, atau dikaitkan dengan apa-apa perbezaan dari segi kesan sampingan apabila dibandingkan dengan rawatan perubatan lain. Walaupun ia kurang berkesan dalam mengurangkan kehilangan darah haid, kepuasan dengan rawatan adalah sama dengan rawatan perubatan lain seperti asid traneksamik dan Pg-IUS.
Kami mendapati bahawa tablet hormon progestogen, diambil melalui mulut selama tiga hingga empat minggu dari hari 5 hingga 26 kitaran haid (tempoh panjang), mengurangkan kehilangan darah haid tetapi rawatan ini mungkin kurang berkesan daripada asid traneksamik, gabungan kontreptif hormon dan peranti dalam rahim pelepas-levonorgestrel. Tiada kajian dalam perbandingan ini dilaporkan mengenai kualiti hidup. Kepuasan dengan rawatan adalah sama dengan wanita yang menggunakan gabungan cincin faraj, tetapi tiada data untuk membandingkan kepuasan antara kitaran panjang dan LNG-IUS atau asid traneksamik. Tiada bukti menunjukkan perbezaan dalam kejadian sakit kepala, tetapi tempoh lama pengambilan oral progestogens dikaitkan dengan kejadian pendarahan yang jauh lebih rendah berbanding dengan rawatan perubatan yang lain.
Kualiti bukti kajian
Kualiti bukti yang dibandingkan dengan oral progestogens (jangka pendek dan panjang) kepada rawatan perubatan lain untuk HMB adalah sama ada rendah atau sangat rendah yang bermaksud bahawa ulasan kajian ini tidak dapat sebarang penemuan yang pasti. Batasan utama dalam kajian ini adalah risiko untuk berat sebelah (pesakit wanita dan penyelidik sedar tentang rawatan yang diterima mungkin akan mengganggu tindakbalas, dan terdapat sebilangan tinggi pesakit yang menarik diri daripada kajian) dan ketidakselarasan (keputusan yang berbeza-beza di antara kajian).
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com