Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Demam tifoid merupakan jangkitan kuman yang kebanyakannya ditemui dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Asia Selatan dan Timur, Afrika, Amerika Latin dan Carribean. Demam tifoid merebak melalui makanan, minuman atau air yang tercemar. Ia biasanya mempunyai tanda-tanda seperti demam pada permulaan, sakit kepala dan gejala berkaitan perut, namun tanda-tanda lain yang tidak spesifik juga boleh wujud. Jangkitan ini juga kadang kala menyebabkan kekeliruan atau psikosis. Pada peringkat lewat jangkitan, penembusan usus atau pendarahan usus yang serius mungkin berlaku. Rawatan biasanya terdiri daripada antibiotik, tetapi masalah rintangan ubatan telah dilaporkan. Kebersihan sekeliling dan makanan yang lebih baik adalah amat penting bagi mengawal demam tifoid. Namun demikian, ini berkait dengan kemajuan sosioekonomi, yang lambat di tempat yang paling terjejas. Oleh itu, vaksinasi merupakan cara yang berkesan untuk mencegah penyakit ini.
Apakah penemuan utama?
Kami mendapati 18 kajian yang berkaitan yang menilai empat vaksin: 9 melaporkan keberkesanan vaksin sahaja, 4 melaporkan mengenai keberkesanan dan kesan sampingan, dan 5 melaporkan kesan sampingan sahaja (kami tidak dapat menganalisa satu kajian tambahan yang memenuhi kriteria kemasukan mengenai peristiwa buruk kerana ia tidak menyediakan maklumat yang mencukupi). Dua vaksin utama yang kini dilesenkan untuk digunakan adalah Ty21a dan Vi polisakarida. Kedua-dua vaksin ini efektif dalam mengurangkan demam tifoid dalam dewasa dan kanak-kanak berumur dua tahun ke atas dari negara endemik. Kesan sampingan seperti loya, muntah dan demam jarang berlaku. Vaksin lain seperti vaksin Vi konjugasi yang baru dan telah diubah suai yang dipanggil Vi-rEPA dan Vi-TT sedang dalam perkembangan. Vaksin baru ini boleh diberikan kepada bayi, dan ini akan dapat membantu mereka kerana mereka mungkin berisiko tinggi untuk dijangkiti, walaupun lebih banyak bukti bagi vaksin ini masih diperlukan.
Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 14 Februari 2018.
Diterjemahkan oleh Lee Xiao Ying. (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi xylee@ms.pmc.edu.my.