Apakah jenis pembedahan yang paling berkesan untuk katarak yang terdapat pada kedua-dua belah mata semasa lahir atau tidak lama selepas kelahiran di kalangan kanak-kanak berusia sehingga 2 tahun?

Mesej utama
Kami tidak menemui bukti berkepastian tinggi yang cukup untuk memutuskan jenis pembedahan manakah yang terbaik untuk katarak pada kedua-dua belah mata, semasa atau tidak lama selepas kelahiran (katarak bilateral kongenital). Tiga kajian yang kami temui kesemuanya melakukan jenis pembedahan yang berbeza dan oleh itu kami tidak dapat membandingkan antara satu sama lain.

Kajian pada masa hadapan harus menyelidik tentang usia yang terbaik untuk mengimplan kanta tiruan, komplikasi yang disebabkan oleh pelbagai kaedah pembedahan, dan sama ada kaedah pembedahan yang lebih baru seperti pembedahan ‘bag-in-the-lens’ adalah lebih baik daripada kaedah tradisional.

Apakah katarak?
Katarak adalah apabila kanta yang biasanya jernih di dalam mata menjadi keruh dan mengaburkan penglihatan. Sesetengah kanak-kanak mengalami katarak pada kedua-dua belah mata sejak di dalam rahim atau tidak lama selepas kelahiran; ini dipanggil katarak bilateral kongenital. Ia adalah penyebab utama buta kanak-kanak di seluruh dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah.

Bagaimana katarak dirawat?

Katarak boleh menjejaskan perkembangan visual, justeru pembedahan sering disyorkan untuk membuang kanta yang keruh. Mengeluarkan katarak bermakna mata tidak boleh fokus. Ini mesti diperbetulkan sama ada dengan menggantikan kanta yang terjejas dengan kanta tiruan, yang dikenali sebagai kanta intraokular, dengan kanta lekap atau dengan cermin mata, atau gabungannya. Tidak ada persetujuan di seluruh dunia tentang yang manakah antara ini adalah terbaik untuk kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun.

Pembedahan boleh menyebabkan komplikasi, seperti pembedahan semula, penanggalan retina (apabila tisu sensitif cahaya di bahagian belakang mata, dipanggil retina, tertarik daripada kedudukan normalnya), dan glaukoma. Glaukoma adalah keadaan di mana tekanan di dalam mata menjadi terlalu tinggi. Ini boleh merosakkan saraf optik dan menyebabkan buta jika tidak dirawat. Glaukoma adalah risiko seumur hidup selepas pembedahan katarak untuk kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun, dan ia boleh terjadi, sama ada kanta intraokular diimplan atau tidak.

Bahagian tengah mata mungkin menjadi keruh semula selepas pengimplanan kanta intraokular. Ini mengakibatkan penglihatan menjadi kabur dan memerlukan rawatan laser atau pembedahan lanjut. Teknik yang berbeza untuk mengimplan kanta intraokular boleh mengurangkan kekeruhan semula. Walau bagaimanapun, kekeruhan semula adalah komplikasi yang biasa apabila katarak dibuang, sama ada ia digantikan dengan kanta intraokular atau tidak.

Pakar bedah mengakses katarak daripada hadapan (cara anterior) atau belakang (cara posterior) kanta. Kedua-dua cara ini mempunyai kadar komplikasi yang berbeza.

Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui pendekatan pembedahan manakah yang paling banyak memperbaiki penglihatan, atau yang paling sedikit mengakibatkan komplikasi, atau kedua-duanya, di kalangan kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah.

Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang melihat kepada pelbagai pendekatan pembedahan di kalangan kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah. Kami membandingkan dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?
Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 90 kanak-kanak dengan katarak bilateral kongenital; yang mana 79 kanak-kanak adalah berusia di bawah 2 tahun. Kanak-kanak tersebut telah disusuli selama 1 hingga 5 tahun selepas pembedahan. Kesemua tiga kajian telah dijalankan di India dan membandingkan intervensi yang berbeza.

Satu kajian (60 kanak-kanak) membandingkan pengimplanan kanta intraokular semasa pembedahan dengan membiarkan mata tanpa kanta dan merawat penglihatan kanak-kanak melalui gabungan cermin mata dan kanta lekap. Ia melaporkan tiada perbezaan dalam penglihatan atau komplikasi selepas pembedahan di antara dua kumpulan tersebut.

Satu kajian (7 kanak-kanak di bawah usia 2 tahun) membandingkan dua teknik pembedahan untuk memasukkan kanta intraokular yang dapat mengurangkan kadar kekeruhan semula penglihatan. Mereka mendapati tiada perbezaan yang ketara dalam keberkesanan, tetapi mereka mengkaji hanya sedikit kanak-kanak.

Satu kajian (12 kanak-kanak) menggunakan alat yang lebih kecil untuk membuang katarak dan membandingkan dua cara pembuangan: cara anterior (di hadapan kanta) dan cara posterior (di belakang kanta). Kajian tersebut melaporkan tiada kekeruhan semula dengan kedua-dua cara dan tiada perbezaan yang ketara dalam kadar komplikasi.

Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah kerana kami menemui hanya beberapa kajian, dan ia adalah sangat berbeza antara satu sama lain. Tiga kajian yang kami sertakan menggunakan kaedah yang berbeza dan mengukur hasil yang berbeza. Kajian hanya melibatkan bilangan peserta yang sedikit dan semuanya dijalankan di India. Ini bermakna keputusannya mungkin tidak boleh diaplikasikan secara global.

Batasan kajian termasuk bahawa satu kajian (60 kanak-kanak) melaporkan pematuhan rendah terhadap penggunaan kanta sentuh selepas pembedahan. 2 kajian yang lain (masing-masing 12 dan 7 kanak-kanak) tidak menyatakan dalam kaedah mereka mengenai kesemua hasil yang akan mereka ukur, yang bermaksud laporan mereka mungkin berat sebelah. Peserta dan penilai hasil juga tidak diselindungkan dalam kajian-kajian ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 25 Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information