Senaman sebagai rawatan untuk orang dewasa yang mengalami sindrom fatig kronik

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Orang dengan sindrom fatig kronik mengalami keletihan dalam tempoh masa yang lama, sakit sendi, sakit kepala, masalah tidur, daya fokus dan ingatan jangka pendek yang lemah. Gejala-gejala ini menyebabkan ketakdayaan yang ketara dan distres kepada para pesakitnya. Kami ingin mendapat kepastian sama ada terapi senaman boleh membantu orang yang mengalami sindrom fatig kronik (ensefalomielitis mialgik).

Mesej-mesej utama

Mereka yang dirawat menggunakan terapi senaman mungkin mengalami kurang keletihan pada akhir rawatan berbanding mereka yang menerima lebih banyak terapi pasif. Kami tidak pasti sama ada perubahan ini akan bertahan dalam jangka masa panjang. Kami juga tidak pasti mengenai risiko kesan-kesan sampingan yang serius daripada terapi senaman.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kami mengkaji sama ada terapi senaman boleh mengurangkan gejala sindrom fatig kronik. Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan kesan terapi senaman dengan rawatan secara biasa atau dengan menggunakan terapi-terapi yang lain

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?

Kami telah menjumpai lapan kajian dengan 1518 orang peserta. Kajian-kajian ini membandingkan para peserta yang menerima terapi senaman dengan peserta yang menerima rawatan seperti biasa atau rawatan-rawatan yang lebih aktif seperti terapi tingkahlaku kognitif.

Peserta telah menjalani terapi senaman selama 12 hingga 26 minggu. Kajian-kajian ini mengukur kesan terapi pada akhir rawatan dan juga pada jangka masa panjang, selepas 50 atau 72 minggu. Para peserta telah bersenam pada tahap intensiti yang berbeza menggunakan pelbagai jenis senaman aerobik seperti berjalan, berenang atau berbasikal.

Terapi senaman berbanding rawatan biasa atau relaksasi

Para peserta yang melakukan terapi senaman mengalami kurang keletihan di akhir rawatan, dan mereka mungkin berfungsi secara fizikal dengan lebih baik. Kami tidak pasti sama ada perubahan-perubahan ini dapat bertahan dalam jangka masa panjang kerana kami amat tidak pasti dengan bukti penemuan.

Peserta yang melakukan terapi senaman mungkin mempunyai tidur yang lebih baik kualitinya, pada akhir rawatan dan juga dalam jangka masa panjang.

Kami tidak pasti tentang risiko kesan sampingan yang serius dan kesan terapi senaman pada tahap kesakitan, kualiti kehidupan, dan kemurungan. Ini adalah kerana kami kekurangan bukti atau kerana kami sangat tidak yakin dengan bukti-bukti yang ada.

Perbandingan terapi senaman dengan terapi tingkahlaku kognitif

Terapi senaman boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan langsung kepada keletihan peserta pada akhir rawatan atau dalam jangka masa panjang. Terapi senaman boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan langsung kepada kecergasan fizikal peserta pada akhir rawatan, tetapi kesan jangka masa panjang kepada kekuatan fizikal ini masih tidak dapat dipastikan.

Tidak ada kajian yang melihat kesan terapi senaman ke atas kemurungan pada akhir rawatan, tetapi ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada langsung kesan dalam jangka masa panjang.

Kami tidak pasti tentang risiko kesan sampingan. Kami juga tidak pasti tentang kesan ke atas tahap kesakitan, kualiti kehidupan, atau tidur. Ini adalah kerana kami kekurangan bukti atau kerana kami sangat tidak yakin dengan bukti-bukti yang ada.

Perbandingan terapi senaman dengan perentakan mudah suai (hidup dalam keterbatasan)

Peserta yang mempunyai terapi senaman mungkin mengalami sedikit kurang keletihan dan gejala kemurungan dan mempunyai fungsi fizikal dan tidur yang sedikit lebih baik pada akhir rawatan dan jangka masa panjang daripada peserta yang telah membuat perentakan mudah suai.

Kami tidak pasti tentang risiko kesan sampingan yang serius. Kami juga tidak pasti tentang kesan ke atas kualiti kehidupan, atau kesakitan. Hal ini kerana kita kekurangan bukti atau kerana kita sangat tidak pasti tentang bukti-bukti yang ada.

Perbandingan senaman terapi dengan antidepresan

Kami tidak pasti jika senaman terapi adalah lebih baik daripada antidepresan dalam mengurangi keletihan. Kami juga tidak pasti akan kesannya terhadap kemurungan, kesan sampingan, kesakitan, fungsi fizikal, kualiti kehidupan atau tidur. Hal ini kerana kita kekurangan bukti atau kerana kita sangat tidak pasti tentang bukti-bukti yang ada.

Mengapakah ulasan ini penting?

Terapi senaman adalah disyorkan oleh garis panduan rawatan dan sering digunakan sebagai rawatan untuk mereka dengan sindrom fatig kronik. Orang yang mempunyai sindrom fatig kronik perlu diberi peluang untuk membuat keputusan tentang penjagaan dan rawatan yang diterima mereka berdasarkan bukti penyelidikan yang kukuh dan sama ada terapi senaman ini berkesan, secara intervensi sendirian atau sebagai sebahagian daripada pelan rawatan.

Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa bukti dalam ulasan ini adalah daripada mereka yang telah didiagnosa menggunakan kriteria 1994 daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit atau kriteria Oxford. Orang yang didiagnosa menggunakan kriteria lain mungkin mengalami kesan yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus) dan disunting oleh Rosediani Muhamad (PPSP, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my