Rawatan pemulihan berkemungkinan berkesan dalam menambahbaikkan kesihatan fizikal golongan warga tua dalam penjagaan jangka panjang. Pada tahun 2010, 7.6% daripada populasi dunia berusia melebihi 65 tahun, dan dijangka ia akan meningkat ke 13% menjelang tahun 2035. Ini dijangka akan menyebabkan peningkatan dalam keperluan untuk penjagaan residensi jangka panjang. Keadaan ini telah meningkatkan minat dalam cara-cara untuk mengelakkan kemerosotan kesihatan dan aktiviti-aktiviti kehidupan seharian seperti, berjalan dan bersalin baju, dalam golongan yang tinggal di rumah jagaan. Pemulihan fizikal (intervensi berdasarkan senaman badan) mungkin berperanan, dan ulasan ini mengkaji bukti yang ada. Ulasan ini meliputi 67 kajian, 36 daripadanya telah dijalankan di Amerika Utara, 20 di Eropah, dan tujuh di Asia. Keseluruhannya, melibatkan 6300 peserta dengan purata umur 83 tahun. Kebanyakan intervensi mengiktiraf kesukaran dalam akitiviti-aktiviti kehidupan seharian. Ulasan ini menyiasat kesan-kesan pemulihan fizikal kepada akitiviti-aktiviti kehidupan seharian, kekuatan, fleksibiliti, keseimbangan, mood, kognisi (ingatan dan pemikiran), toleransi senaman, ketakutan jatuh, kematian, penyakit, dan kesan-kesan intervensi yang tidak diingini, seperti kecederaan. Disebabkan oleh variasi dalam pelbagai kajian, kita tidak mampu membuat cadangan khusus. Namun, kajian-kajian individual sering berjaya menunjukkan manfaat penglibatan dalam pelbagai pemulihan fizikal kepada kesihatan fizikal.
Diterjemahkan oleh Kyralynn Taylor (Penang Medical College). Disunting oleh MW Chan (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi kyralynn@ms.pmc.edu.my atau chanmeiwai5@yahoo.com.