Ini merupakan semakan ulasan Cochrane yang terkini, penerbitan versi terakhir ialah pada 2012.
Latar belakang
Kecederaan merupakan penyebab utama kedua kematian bagi orang yang berumur lima hingga 45 tahun. Lebih dari empat juta orang di seluruh dunia mati kerana kecederaan setiap tahun, kerap disebabkan oleh kehilangan darah yang terlalu banyak. Ubat-ubatan pencegah fibrinolisis merangsang pembekuan darah dengan cara menghalang darah beku dari berpecah. Contoh ubat-ubatan pencegah fibrinolisis ialah aprotinin, asid tranexamic (TXA), asid epsilon-aminocaproic dan asid aminomethylbenzoic. Kadang-kadang doktor berikan ubat-ubatan ini kepada pesakit yang menjalani pembedahan untuk menghalang kehilangan darah. Ubat-ubatan ini mungkin juga menghentikan kehilangan darah dalam kalangan pesakit yang cedera teruk dan, hasilnya, menyelamatkan nyawa.
Pengarang ulasan ini telah mencari kajian-kajian rawak yang menilai kesan-kesan pencegah fibrinolisis dalam kalangan pesakit trauma.
Tarikh carian
Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Januari 2015.
Ciri-ciri kajian
Pengulas menemui tiga kajian rawak yang memenuhi kriteria kemasukan dan merangkumi data daripada lebih 20,000 pesakit yang direkrut dari 40 negara.
Daripada ini, satu kajian kecil (n = 77) melihat kesan aprotinin dalam pesakit berumur 12 tahun dan ke atas yang telah mengalami trauma melibatkan kepatahan tulang dan renjatan.
Dua kajian menilai kesan TXA dalam kalangan pesakit berumur 16 tahun dan ke atas. Kajian yang terbesar (n = 20,211) melibatkan pesakit yang mengalami pelbagai jenis trauma, dan kajian yang lain (n = 240) hanya mereka yang mengalami kecederaan otak trauma.
Keputusan
Kajian yang menilai kesan aprotinin adalah terlalu kecil untuk memberikan data yang boleh dipercayai.
Keputusan bagi TXA mencadangkan, bila diberi awal, TXA mengurangkan risiko kematian berbanding pesakit yang tidak menerima TXA tanpa meningkatkan risiko kesan sampingan.
Bagaimanapun, masih terdapat sedikit ketidaktentuan tentang kesan TXA dalam kalangan pesakit yang mempunyai pendarahan di dalam otak akibat kecederaan kepala, tetapi tiada pendarahan dari kecederaan di tempat lain. Ada kemungkinan kesan TXA berbeza dalam kumpulan pesakit khusus ini.
Pengulas menemui dua kajian yang sedang berjalan mencuba untuk menjawab persoalan ini.
Pengarang ulasan ini menyimpulkan TXA boleh dengan selamatnya mengurangkan kematian dalam pesakit trauma yang mengalami pendarahan dan perlu diberikan secepat mungkin selepas kecederaan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat memberi kesimpulan sama ada TXA juga berkesan dalam pesakit yang mengalami kecederaan otak trauma tanpa trauma lain, sehingga kajian yang sedang berjalan selesai.
Kualiti bukti
Bukti untuk hasil-hasil penting termasuk kematian, keperluan untuk pembedahan lanjutan dan transfusi darah, diperolehi dari bukti berkualiti tinggi, bermakna pengulas mempunyai keyakinan dalam penemuan-penemuan ini. Terdapat bukti berkualiti sederhana bagi kesan-kesan buruk yang penting termasuk kejadian oklusif vaskular (termasuk serangan jantung, trombosis vena dalam, strok dan embolisme pulmonari).
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my