Rawatan untuk tromboflebitis permukaan kaki

Latar belakang

Tromboflebitis superfisial (ST) adalah proses keradangan yang agak biasa dikaitkan dengan pembekuan darah (thrombus) yang memberi kesan kepada urat dangkal (urat yang hampir dengan permukaan kulit badan). Gejala dan tanda-tandanya termasuk rasa sakit setempat, gatal-gatal, tender, kemerahan kulit, dan pengerasan tisu sekitarnya. Terdapat beberapa bukti untuk menunjukkan hubungan antara ST dan tromboembolisme vena (VTE; keadaan di mana pembekuan darah terbentuk (paling kerap) dalam urat dibahagian kaki dan boleh bergerak dalam peredaran dan menyumbat di paru-paru). Rawatan bertujuan untuk melegakan simptom-simptom setempat dan untuk mencegah sambungan bekuan ke dalam vena dalam, ST berulang, atau perkembangan peristiwa yang lebih serius yang disebabkan oleh VTE. Ini adalah kemaskini ketiga ulasan yang diterbitkan pada tahun 2007. Bukti terkini sehingga Mac 2017.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kemaskini ini termasuk 33 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melibatkan 7296 peserta. Rawatan seperti rivaroxaban (ubat yang dipanggil perencat oral langsung faktor X yang aktif), suntikan ubat-ubatan di bawah kulit untuk mengelakkan pembekuan darah (misalnya fondaparinux, heparin dengan berat molekul yang rendah, atau heparin bukan pecahan), stoking mampatan elastik, ubat anti-radang bukan steroid(NSAIDs; ubat tahan sakit), rawatan topikal (ubat yang digunakan untuk kulit), dan pembedahan.

Satu kajian yang besar, menyumbang kepada separuh daripada peserta yang termasuk dalam ulasan, menunjukkan rawatan dengan fondaparinux selama 45 hari dikaitkan dengan pengurangan yang ketara dalam VTE gejala (di mana gejala menunjukkan terdapat VTE), sambungan ST (di mana bekuan bergerak lebih jauh sehingga kaki), dan pengulangan ST (di mana beku kembali) berbanding dengan plasebo. Pendarahan utama jarang berlaku dalam kedua-dua kumpulan. Dalam satu kajian melibatkan pesakit ST yang berisiko tinggi dengan kejadian tromboembolik yang berulang, fondaparinux dikaitkan dengan pengurangan VTE gejala yang tidak ketara berbanding dengan rivaroxaban. Tiada peristiwa pendarahan melampau dalam kedua-dua kumpulan. Kedua-dua dengan berat molekul yang rendah, heparin dan NSAID mengurangkan kejadian lanjutan atau pengulangan ST tanpa kesan pada VTE gejala atau pendarahan besar. Rawatan topikal melegakan simptom setempat tetapi kajian tidak melaporkan perkembangan kepada VTE. Rawatan pembedahan dan memakai stoking elastik dikaitkan dengan kadar VTE yang lebih rendah dan perkembangan ST berbanding dengan stok elastik sahaja.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah sangat rendah untuk kebanyakan rawatan kerana reka bentuk kajian yang kurang baik, ketidaktepatan keputusan, kurang kumpulan plasebo (tidak dirawat) dan hanya satu kajian dalam beberapa perbandingan. Kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana untuk perbandingan dalam dua kajian plasebo terkawal.

Sebagai kesimpulan, fondaparinux nampaknya merupakan rawatan yang mencukupi untuk kebanyakan pengidap ST. Dos yang optimum dan tempoh rawatan perlu distandardkan pada orang yang berisiko tinggi serta orang yang berisiko rendah untuk kejadian trombotik yang berulang. Kajian lanjut diperlukan untuk menilai peranan rivaroxaban dan lain-lain ubat, atau thrombin, heparin dengan berat molekul yang rendah atau NSAID dan untuk menunjukkan keberkesanan, jika ada, rawatan topikal, atau pembedahan dari segi VTE.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information