Ventilasi tekanan positif hidung berjeda awal (NIPPV) berbanding dengan ventilasi tekanan positif hidung berterusan awal (NCPAP) untuk bayi pra-matang

Soalan ulasan

Adakan NIPPV dapat memberi manfaat jangka pendek dan panjang yang lebih besar tanpa membahayakan bayi pra-matang yang berisiko atau mereka yang mengalami gangguan pernafasan berbanding dengan NCPAP?

Latar belakang

Ventilasi tekanan positif hidung berjeda (NIPPV) mungkin meningkatkan keberkesanan ventilasi tekanan positif hidung berterusan (NCPAP) pada bayi pra-matang yang berisiko atau mengalami gangguan pernafasan. Bayi pra-matang yang mengalami masalah pernafasan kerap memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin (ventilator) untuk memberi pernafasan yang seragam melalui tiub yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan. Pakar kanak-kanak yang merawat bayi pra-matang ini berusaha mengelakkan penggunaan ventilator kerana ia boleh merosakkan perkembangan paru-paru bayi yang belum matang atau pra-matang. NCPAP dan NIPPV adalah kaedah yang menyokong pernafasan bayi secara kurang invasif - tiubnya lebih pendek dan hanya mencapai bahagian belakang hidung, maka menyebabkan kurang kerosakan pada paru-paru. NCPAP and NIPPV boleh digunakan lebih awal selepas kelahiran untuk mengurangkan bilangan bayi yang memerlukan bantuan ventilator untuk bernafas. NCPAP dapat menyediakan tekanan yang stabil ke bahagian belakang hidung yang kemudian dihantar ke paru-paru, membantu bayi bernafas dengan lebih selesa. NIPPV menyediakan sokongan yang sama tetapi juga menambah beberapa nafas melalui ventilator.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian-kajian yang membandingkan NCPAP dengan NIPPV pada bayi pra-matang (lahir sebelum 37 minggu kehamilan lengkap) yang memerlukan sokongan pernafasan sejurus setelah kelahiran. Kami juga melihat keperluan untuk tiub pernafasan dan kesan sampingan jangka panjang.

Keputusan utama

Kami menemui 17 kajian (mendaftarkan 1958 bayi) yang membandingkan NCPAP dengan NIPPV. Ketika diberikan dalam enam jam setelah lahir, NIPPV berkemungkinan mengurangkan risiko kegagalan pernafasan dan keperluan untuk intubasi serta ventilasi melalui tiub endotrakeal pada bayi yang sangat pra-matang (usia kehamilan 28 minggu dan ke atas) dengan sindrom kesukaran pernafasan (RDS) atau berisiko mengalami RDS. Ia juga mungkin mengurangkan sedikit kadar penyakit paru-paru kronik. Berbanding dengan NCPAP, NIPPV mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kematian, berlakunya kebocoran udara dalam bahagian toraks, atau pendarahan teruk dalam otak. Namun, terdapat kekurangan data berkaitan bayi yang sangat pra-matang yang lahir pada usia kehamilan kurang daripada 28 minggu. Kajian tambahan diperlukan untuk menentukan bagaimana NIPPV dapat disampaikan dengan terbaik kepada bayi. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Kepastian bukti

Kepastian keseluruhan kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah sederhana hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information