Sakit belakang amat biasa terjadi dalam kalangan orang dewasa. Terdapat bukti bahawa individu yang membawa atau mengangkat objek secara kerap meningkatkan tekanan pada tulang belakang mereka dan mempunyai risiko sakit belakang. Untuk kebanyakan pekerjaan, adalah sukar untuk mengelakkan aktiviti ini. Latihan bagi teknik mengangkat yang betul dan penggunaan peralatan bantuan mekanikal dianggap teknik penting untuk mengelakkan sakit belakang.
Sebanyak sembilan kajian rawak terkawal (20,101 pekerja) dan sembilan kajian kohot (1280 pekerja) yang mengkaji kesan latihan dan penggunaan peralatan bantuan untuk pencegahan sakit belakang dan pengurangan hilang upaya telah dimasukkan dalam kajian sistematik ini. Kami mendapati tiada kajian yang mengkaji kesan latihan atau penggunaan peralatan bantuan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan untuk sakit belakang.
Kami mendapati bukti kualiti adalah tahap sederhana berkaitan laporan mengenai sakit belakang, hilang upaya atau ketidakhadiran bekerja adalah sama di antara kumpulan yang menerima latihan mengenai teknik mengangkat yang betul dan peralatan bantuan berbanding dengan kumpulan kawalan yang menerima sama ada tiada latihan, nasihat, pendidikan profesional, latihan senaman atau tali pinggang belakang. Laporan mengenai sakit belakang juga yang sama dalam kalangan subjek yang menerima latihan yang intensif dan mereka yang menerima latihan lebih pendek. Penemuan ini juga konsisten apabila diukur dalam jangka pendek atau jangka panjang dalam kajian rawak atau kajian kohot
Keputusan ini adalah selaras dengan ulasan lain yang mengkaji pelbagai pelbagai langkah pencegahan. Beberapa ulasan lain mendapati bahawa para pekerja yang menerima latihan berpuas hati dan menunjukkan pengetahuan yang bertambah, tetapi tidak menunjukkan perubahan tingkah laku yang konsisten.
Kesimpulannya, latihan teknik pengendalian manual dan penggunaan peralatan bantuan untuk pencegahan sakit belakang adalah tidak berkesan dalam pencegahan sakit belakang. Kajian lanjut mungkin mepunyai impak yang penting dan dapat menukar anggaran kesan intervensi tersebut di masa hadapan.
Diterjemahkan oleh Anza Bt Elias (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk Sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi AnzaElias@imu.edu.my