Apakah cirit-birit berkaitan Clostridium difficile?
Antibiotik adalah antara ubat yang paling lazim dipreskripsi di seluruh dunia. Rawatan antibiotik boleh mengganggu keseimbangan organisma yang biasanya mendiami usus. Ini boleh menyebabkan pelbagai simptom, terutamanya, cirit-birit. Clostridium difficile (C. difficile) adalah satu organisma merbahaya yang boleh menjajah usus jika keseimbangan sihat yang normal terganggu. Penyakit yang berkait dengan Clostridium difficile terdiri dari jangkitan asimptomatik, cirit-birit, kolitis, dan kolitis pseudo-membran hingga megakolon toksik dan kematian. Kos rawatan adalah mahal dan beban kewangan ke atas sistem perubatan adalah besar.
Apakah probiotik?
Probiotik adalah organisma hidup (bakteria atau ragi) yang difikir dapat menambahbaik keseimbangan organisma yang mendiami usus, mengatasi gangguan berpotensi kepada keseimbangan mikrob yang berkait dengan penggunaan antibiotik, dan mengurangkan risiko jajahan usus oleh bakteria patogenik. Probiotik boleh didapati dalam bentuk kapsul atau yogurt dan semakin banyak didapati dalam bentuk kapsul yang dijual di kedai-kedai makanan kesihatan dan pasaraya. Sebagai ‘makanan fungsian’ atau ‘bakteria baik’, probiotik telah dicadangkan sebagai satu cara untuk mencegah dan merawat cirit-birit berkait dengan C. difficile (CDAD).
Apakah yang dikaji oleh penyelidik?
Para penyelidik menyiasat sama ada probiotik mencegah CDAD d alam kalangan kanak-kanak yang menerima terapi antibiotik dan sama ada probiotik menyebabkan sebarang mudarat (kesan sampingan). Para penyelidik mencari kesusasteraan perubatan secara meluas sehingga 21 Mac 2017.
Apakah yang didapati oleh para penyelidik?
Ulasan ini memasukkan 39 kajian rawak dengan sejumlah 9955 peserta. Tiga-puluh satu kajian (8672 peserta) menilai keberkesanan probiotik untuk mencegah CDAD dalam kalangan peserta yang mengambil antibiotik. Keputusan kami mencadangkan apabila probiotik diberi bersama antibiotik, ia mengurangkan risiko CDAD sebanyak 60% secara purata. Di antara kajian-kajian yang mendaftarkan peserta berisiko tinggi mengalami CDAD (>5%), potensi manfaat probiotik lebih ketara dengan pengurangan risiko sebanyak 70% secara purata. Kesan-kesan sampingan dinilai dalam 32 kajian (8305 peserta) dan keputusan kami mencadangkan probiotik tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kesan sampingan. Kesan-kesan sampingan yang paling lazim dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut termasuklah kekejangan abdominal, loya, demam, najis lembut, kembung, dan gangguan rasa. Penggunaan jangka pendek probiotik nampaknya selamat dan berkesan apabila digunakan bersama antibiotik dalam kalangan pesakit yang tidak imunokompromi atau sangat lemah. Walaupun ada keperluan untuk penyelidikan lanjutan, pesakit yang dimasukkan ke hospital, terutamanya yang berisiko tinggi untuk mengalami CDAD, perlu dimaklumkan akan potensi manfaat dan bahaya probiotik.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.