Intervensi untuk merawat gigi kekal hadapan yang tertrauma: gigi tertanggal

Kecederaan traumatik gigi kekal hadapan di kalangan kanak-kanak dan awal dewasa adalah lazim. Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan ini untuk menilai intervensi rawatan gigi kekal hadapan apabila ia teranjak dari posisi asal akibat kecederaan. Ulasan ini tidak mengambilkira gigi yang telah terkeluar keseluruhannya (avulsi).

Carian terkini kajian yang relevan dibuat pada 20 Ogos 2012.

Terdapat pelbagai sebab kecederaan traumatik berlaku, termasuklah jatuh, hentaman, kemalangan dan pukulan. Kajian menunjukkan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak lelaki dan lelaki muda (60% hingga 70%).

Terdapat tiga jenis sesaran.

- Sisi , di mana gigi tersesar ke tepi (ke belakang atau ke hadapan) di dalam soket dan tidak longgar
- Ekstrusi, di mana gigi longgar dan mula terkeluar dari soket
- Intrusi, di mana gigi telah tertusuk ke dalam tulang rahang

Selepas kecederaan, gigi boleh diposisi semula kepada kedudukan asal atau dibiarkan untuk kembali ke posisi asal secara spontan (sesuai untuk sesetengah jenis intrusi). proses memposisikan semula gigi boleh dibuat secara manual oleh doktor gigi atau menggunakan pendakap ortodontik.Setelah gigi diletakkan dalam posisi asal, anduh diguna untuk menetapkan kedudukannya. Pelbagai teknik anduh telah dilaporkan di literatur.konsep anduh yang unggul mestilah pasif (iaitu tidak menyebabkan gigi bergerak dari posisi asal), membolehkan pergerakan fisiologi (misalnyamembolehkan pergerakan kecil sambil mengekalkan posisi asal) dan mudah dikendali semasa pemasangan dan pembuangan.Dari perspektif pesakit, anduh tersebut seharusnya tidak mengganggu proses gigitan, pembersihan atau pun pertuturan. Jangkamasa anduh dilekatkan bergantung kepada kecederaan, mobiliti gigi dan tisu yang terlibat. Mana-mana gigi yang tercedera pada kebiasanya memerlukan pemantauan (sekurang-kurangnya 12 bulan) untuk menilai kadar penyembuhan, terutama gusi dan tisu lembut di sekeliling gigi dan paling utama adalah pulpa yang membolehkan gigi tersebut terus hidup. Mengikut kesesuaian (iaitu jika bahagian pulpa gigi telah mati), rawatan lanjut mungkin diperlukan seperti rawatan akar.

Ulasan Cochrane ini menilai rawatan yang bermanfaat untuk kecederaan begini termasuk:

- peranan pelbagai antibiotik;
- peranan anduh yang meliputi kepelbagaian jenis dan jangkamasa penggunaan optimum; dan
- peranan teknik posisi semula (misalnya penggunaan pendakap ortodontik atau pembedahan)

Daripada 548 kajian yang dikenalpasti, tiada kajian yang menepati kriteria yang telah ditetapkan. Oleh itu tiada bukti sainstifik yang boleh digunakan untuk menilai keberkesanan intervensi bagi rawatan kecederaan ini. Garispanduan rawatan terkini adalah berdasarkan kajian berisiko yang menggunakan rekabentuk seperti siri kes, kajian haiwan dan kajian sel berasaskan makmal. Oleh yang demikian, kajian saintifik sangat-sangat diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information