Latar belakang
Opioid (ubat seperti morfin) diguna untuk merawat sakit yang teruk, tetapi ia boleh menyebabkan disfungsi usus termasuk sembelit, pengosongan usus tidak lengkap, kembung, dan peningkatan refluks (mengalir kembali) kandungan perut ke dalam esofagus (paip makanan). Ini adalah kerana reseptor untuk opioid terdapat di dalam usus. Disfungsi usus cetusan opioid mungkin sangat teruk sehingga orang memilih batasan kelegaan sakit untuk memperbaik fungsi usus. Disfungsi usus cetusan opioid adalah lazim dalam kalangan orang dengan kanser dan mereka yang menerima penjagaan paliatif (apabila tiada penawar). Julap sering menjadi rawatan pilihan pertama untuk disfungsi usus cetusan opioid. Ia mungkin tidak selalu berkesan. Antagonis mu-opioid ialah ubat khusus untuk disfungsi usus cetusan opioid yang telah diguna untuk membantu mengurangkan kesan opioid (dalam usus). Kesan sampingan yang mungkin dari rawatan ini adalah kurangnya kelegaan sakit.
Ciri-ciri kajian
Matlamat ulasan kemas kini ini adalah untuk menentukan perkara yang kami tahu tentang keberkesanan dan keselamatan antagonis mu-opioid (MOAB) untuk pengurusan disfungsi usus cetusan opioid dalam kalangan orang dengan kanser atau menerima rawatan paliatif. Kami hanya memasukkan kajian rawak terkawal, kerana ia memberi bukti yang paling boleh percaya. Kajian rawak terkawal ialah sejenis kajian di mana orang diagihkan secara rawak ke dalam kumpulan untuk menguji intervensi, rawatan atau ubat. Ini bermakna seseorang individu berpeluang yang sama untuk setiap intervensi, rawatan atau ubat.
Kami mendapati kajian-kajian yang menilai antagonis mu-opioid naldemedine, methylnaltrexone, dan naloxone. Kumpulan perbandingan kajian boleh jadi plasebo (bahan tanpa kesan aktif yang diketahui), penjagaan biasa, antagonis mu-opioid pelbagai dos, atau gabungan dengan ubat lain atau rawatan lain seperti antagonis mu-opioid yang berbeza.
Keputusan utama
Carian kami hingga 20 Disember 2021 mendapati 10 kajian melibatkan 1343 orang dewasa. Antagonis mu-opioid yang dinilai dalam kalangan orang dengan kanser adalah naldemedine dan naloxone oral yang diambil dalam kombinasi dengan rawatan opioid (untuk sakit). Antagonis mu-opioid lain yang dinilai dalam kajian adalah methylnaltrexone. Ia diberi melalui suntikan dan dinilai dalam penjagaan paliatif di mana kebanyakan peserta menghidap kanser lanjutan.
Naldemedine atau methylnaltrexone dibandingkan dengan plasebo. Naloxone dibandingkan dengan rawatan plasebo atau opioid sahaja.
Keyakinan keseluruhan seperti kepastian bukti adalah sangat rendah hingga sederhana (sangat tidak pasti hingga agak pasti). Terdapat masalah dengan reka bentuk kajian-kajian, termasuk kekurangan laporan kaedah kajian.
Pergerakan usus
Dalam masa dua minggu rawatan dengan naldemedine atau methylnaltrexone pergerakan usus mungkin meningkat (bukti sederhana/agak pasti); kajian-kajian tidak mengukur kesan naloxone dalam masa dua minggu. Terdapat keyakinan yang rendah (bukti tidak pasti) pesakit mendapati naloxone yang diambil dengan rawatan opioid dan methylnaltrexone memperbaik simptom sembelit. Kajian naldemedine tidak mengukur penilaian pesakit terhadap pembaikan simptom sembelit.
Kelegaan sakit
Terdapat keyakinan rendah tentang bukti ketiadaan impak naloxone dalam kombinasi dengan opioid atau daripada methylnaltrexone terhadap kelegaan rawatan daripada sakit. Terdapat keyakinan yang rendah (tidak pasti) dalam bukti naldemedine tidak mengubah kelegaan rawatan sakit.
Risiko kesan sampingan serius (cth dimasukkan ke hospital, mengancam nyawa, atau fatal) dan kesan sampingan lain
Terdapat keyakinan yang rendah (tidak pasti) naldemedine atau methylnaltrexone tidak menyebabkan peningkatan risiko kesan sampingan yang serius. Terdapat keyakinan yang rendah terhadap bukti naloxone dalam kombinasi dengan opioid tidak meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius (tindak balas buruk).
Naldemedine mungkin tidak meningkatkan risiko kesan sampingan lain yang tidak serius (kepastian sederhana/bukti yang agak pasti). Terdapat keyakinan rendah terhadap bukti naloxone yang diambil dengan rawatan opioid tidak menyebabkan peningkatan risiko kesan sampingan. Bagi methylnaltrexone terdapat keyakinan rendah terhadap bukti ia tidak meningkatkan risiko kesan sampingan.
Kesimpulan
Terdapat bukti kepastian sederhana naldemedine oral memperbaik fungsi usus dalam masa dua minggu dalam kalangan dewasa dengan kanser dan disfungsi usus cetusan opioid tetapi meningkatkan risiko kesan sampingan, dan methylnaltrexone yang disuntik memperbaik fungsi usus selama dua minggu dalam kalangan orang yang menerima. penjagaan paliatif. Keputusan ulasan ini perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana ia tidak diperoleh dari bukti kepastian tinggi. Penilaian hasil adalah terhad, khususnya tidak semua KAJIAN mengukur penilaian pesakit tentang pembaikan pergerakan usus. Tiada kajian dalam kalangan kanak-kanak.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my