Latar belakang
Apabila jantung seseorang berhenti berdegup, ia mungkin perlu untuk memberikan kejutan elektrik (disebut 'defibrilasi') ke dada seseorang itu untuk menghidupkan semula jantungnya. Dua elektrod diletakkan pada dada orang tersebut untuk membolehkan defibrilator menyampaikan kejutan elektrik. Dari segi sejarah, arus elektrik yang dikenakan pada dada bergerak dalam satu arah antara elektrod. Baru-baru ini, defibrilator telah direka bentuk untuk menghantar arus elektrik ke satu arah dan kemudian ke arah berlawanan. Ini dikenali sebagai bentuk gelombang 'dwifasa’.
Objektif
Penyelidik Cochrane melakukan ulasan ini untuk menentukan sama ada defibrilator bentuk gelombang dwifasa yang lebih baru adalah lebih baik untuk menghidupkan semula jantung seseorang daripada defibrilator bentuk gelombang 'monofasa' yang digunakan sebelumnya.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari penulisan hingga 10 September 2014 dan berusaha mencari semua penyelidikan yang sedia ada (diterbitkan dan tidak diterbitkan) yang membandingkan kedua-dua jenis defibrilator ini. Kami hanya menyertakan kajian dengan reka bentuk kajian berkualiti tinggi untuk mengelakkan kemungkinan keputusan yang tidak tepat.
Keputusan utama
Empat kajian (552 peserta) memenuhi kriteria penyertaan ulasan kami. Beberapa kajian yang disertakan berpotensi berisiko untuk mengelirukan keputusan akibat ciri reka bentuk kajian mereka. Apabila kami menggabungkan keputusan kajian-kajian tersebut, kami menemui bahawa penggunaan defibrilator bentuk gelombang dwifasa yang lebih baru mungkin dikaitkan dengan kadar kegagalan yang lebih rendah untuk memulakan semula jantung seseorang, tetapi keputusan ini adalah tidak tepat. Tidak ada perbezaan dalam jumlah orang yang masih hidup semasa tiba di hospital atau yang keluar dari hospital dalam keadaan hidup. Tiada kajian yang dimasukkan yang melaporkan kesan sampingan atau keselamatan pengendali.
Kesimpulan
Kami tidak pasti sama ada defibrilator dwifasa mempunyai kesan penting untuk dapat menghidupkan semula jantung seseorang kerana keputusannya adalah tidak tepat.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my